KFC, Pizza Hut anjur World Hunger Relief
Antara peserta yang menyertai program jalan kaki amal World Hunger Relief tahun lalu.
KFC dan Pizza Hut dengan kerjasama Yum! Brands dan Program Makanan Dunia (PMD) yakin menarik lebih 10,000 peserta acara jalan kaki amal bagi program World Hunger Relief yang akan diadakan di Putrajaya, 6 Oktober ini.

Dengan tema ‘Be the movement’, program ini bertujuan mengumpul dana untuk disumbangkan kepada PMD yang dinaungi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan QSR Brands Bhd, Rosniza Baharum berkata, sejak penyertaan dibuka kepada orang ramai, sambutan sangat menggalakkan.

“Acara jalan kaki amal pertama yang dianjurkan pada 2008 tidak dibuka kepada orang awam, sebaliknya disertai lebih 1,000 pekerja dan keluarga KFC dan Pizza Hut. Pada 2009, lebih 2,000 orang mengambil bahagian walaupun program diadakan secara tertutup.

“Namun, pada 2010 penyertaan mula dibuka kepada orang awam dan peserta meningkat kepada 7,000 dan 10,000 orang tahun lalu,” katanya.

Yuran pendaftaran RM25 untuk setiap peserta boleh dibayar di restoran KFC dan Pizza Hut terpilih atau melalui Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan (FTAAA), Twenty First Century

Sports (M) Sdn Bhd atau layari www.hooha.asia.

Tarikh tutup penyertaan pada 30 September.