Wednesday, September 26, 2012

Ke New Zealand demi ragbi

ZULKEFLEY bersama sebahagian daripada koleksi barangan ragbi kumpulan All Black miliknya.
ZULKEFLEY Muhamed tidak pernah menduga dia akan mendapat peluang menjejak kaki ke negara kelahiran pasukan ragbi kegemarannya, All Black di New Zealand.
Namun tuah itu datang pada 2001 apabila dia ditawarkan kerja sebagai chef di negara tersebut dan sehingga sekarang, dia masih bermastautin di sana.
Sepanjang 11 tahun di sana, bekas pemain ragbi negara di bawah usia 18 dan 20 tahun itu tidak mensia-siakan peluang yang diberi dengan menghadiri setiap perlawanan penting ragbi, mendapatkan pelbagai barangan ragbi yang asli, malah bertentang mata dan bergambar kenangan dengan pemain-pemain kegemarannya.
Asalnya fokus kepada koleksi sendiri, tetapi bagi memenuhi permintaan rakan-rakan yang berkongsi minat sama, dia sering memburu jersi untuk mereka dan akhirnya membuka sebuah kedai di Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi yang diuruskan oleh keluarga.
Dek kerana minat, dia kini memiliki pelbagai jersi ragbi dari pelbagai pasukan selain New Zealand seperti Afrika, Australia, Fiji, Samoa dan Perancis.
"Saya tak pasti berapa jumlah tepat jersi yang dikumpul sejak 11 tahun lalu. Apa yang boleh saya katakan, kalau saya mati hidup semula tiga kali pun tidak akan habis jersi yang dipakai.
"Di sana, jersi ragbi amat mudah ditemui dan sedikit murah berbanding yang dijual di Malaysia.
Kualiti"Pengalaman membeli jersi untuk diri sendiri dan rakan-rakan membuatkan saya arif mengenali jersi mana yang asli atau tidak terutamanya apabila melihat kualiti kain dan boleh dikatakan ramai juga rakan saya yang tertipu di sini," ujar Zulkefley ketika ditemui di kedainya, Rugby Sport Collection di sini, baru-baru ini.
Antara kegemarannya jersi All Black ketika memenangi Piala Dunia pada tahun lalu dan baju pengadil perlawanan ragbi pada Sukan Komanwel 1998
Namun koleksi jersi paling disayanginya tidak dibeli di sana tetapi dihadiahkan oleh jurulatihnya ketika berada di sekolah menengah pada 1987 kerana berjaya menganggotai pasukan Malaysia.
Jersi British & Irish Lions New Zealand Tour 2005 berwarna merah dan hitam turut dianggap istimewa kerana jelajah di New Zealand itu hanya berlaku 13 tahun sekali dan dia bertuah dapat menyaksikannya pada 2005.
Zulkefley turut mengabadikan tandatangan pemain-pemain hebat seperti Jonah Lomu, Tana Umaga, Jerry Collins, Carlos Spencer dan Keven Mealamu pada bola ragbi miliknya sebagai tanda kenangan.
"Namun, walau jauh saya merantau, saya tetap menyokong pasukan ragbi kita dan berharap satu hari nanti mereka akan sampai ke tahap yang lebih tinggi, sekurang-kurangnya di peringkat Asia," ujarnya yang teringin menaja jersi ragbi kepada kumpulan rock terkenal Search dan Wings sebagai satu cara mempromosikan sukan ragbi di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: