Friday, September 28, 2012

Kartini galas tugas suami

Kasih seorang isteri yang sentiasa berada di sisi suami dalam susah dan senang.
AIR mata Kartini Abdullah, 35, berlinangan tatkala mengenang masa depan keluarganya lebih-lebih lagi setelah suami yang menjadi tempat dia dan anak-anak bergantung diuji dengan dugaan yang cukup hebat.
Dengan kudrat wanita yang tidak seberapa, dia kini mengambil-alih tugas sebagai ketua keluarga apabila suami, Mohd. Faizul Abd. Wahab, 37, hilang sebelah kaki akibat penyakit saraf.
Kartini hanya mampu berdoa agar Allah Taala memberi kekuatan kepada dirinya, suami dan keluarga menghadapi dugaan tersebut.
"Segalanya berlaku secara tiba-tiba. Sebelum ini keadaan suami sihat saja sehinggalah pada satu pagi ketika bangun tidur dia tidak dapat menggerakkan kaki kirinya.
"Saya segera membawanya ke hospital dan hasil pemeriksaan mendapati dia mengalami masalah saraf dan doktor terpaksa membuang sebelah kaki.
"Kaki kanannya juga pernah disarankan oleh doktor untuk dipotong. Namun selepas pemeriksaan dan rawatan lanjut, Alhamdulillah kaki kanan suami masih boleh diselamatkan," kata ibu kepada seorang anak lelaki berusia enam tahun dan bakal menimang cahaya mata kedua pada November ini.
Menurut Kartini, suaminya terpaksa menjalani tiga pembedahan. Pada awal pembedahan kaki suaminya hanya dipotong dari paras lutut.
Namun pembedahan kaki yang pertama menyebabkan suaminya koma selama tiga minggu menyebabkan doktor menasihati agar dipotong sehingga ke pangkal paha.
Akhirnya doktor memaklumkan keseluruhan kaki kirinya tidak dapat diselamatkan dan terpaksa membuang keseluruhan kaki tersebut.
"Suami saya juga mempunyai masalah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah buah pinggang yang memerlukan penjagaan rapi," katanya.
Hancur luluh hati Kartini apabila melihat orang yang disayangi hilang upaya secara tidak langsung memberi kesan terhadap punca pendapatan keluarga.
Mengakui keadaan suami membuatkan mereka sekeluarga terpaksa keluar dari rumah sewa dan menumpang hidup dengan ibu mertuanya.
Suaminya ketika sihat bukan sahaja menyara keluarga kecil mereka, malah turut membantu ibu dan adik beradiknya yang lain.
Salah seorang adik suaminya adalah ibu tunggal dan mempunyai dua cahaya mata.
Kini semua itu menjadi tanggungjawab Kartini untuk menyara mereka memandangkan adik iparnya itu telah ditinggalkan suami dan tidak berkerja.
Namun keprihatinan syarikat tempat suaminya bekerja sedikit sebanyak meringankan beban Kartini dan secara tidak langsung memberikan jalan kepada mereka sekeluarga untuk meneruskan hidup.
"Saya kini bekerja sebagai kerani di syarikat yang suami saya pernah bekerja sebelum dia kehilangan kakinya," ujar Kartini.
Namun, pendapatan yang diterima tidak mampu menampung kehidupan beliau sekeluarga termasuk ibu mertua dan keluarga adik ipar.
Kartini juga turut mengharapkan permohonan rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang dipohon sejak empat tahun lalu diluluskan untuk keselesaan mereka sekeluarga.
"Kami pernah memohon rumah berkenaan atas nama Orang Kelainan Upaya (OKU). Namun jawapan yang kami terima masih lagi sama iaitu permohonan sedang diproses dan berada dalam senarai menunggu.
"Ini sangat mengecewakan saya, ditambah lagi kebimbangan terhadap keselamatan suami serta pergerakan kami sekeluarga terbatas kerana jumlah isi rumah yang ramai dan rumah yang kecil," katanya.
Ekoran masalah kewangan yang meruncing, mereka pernah terpaksa menagih simpati kawan-kawan dengan meminjam wang untuk membeli keperluan harian.
"Kami sekeluarga juga pernah hanya makan nasi goreng kosong selama beberapa hari kerana tiada duit belanja untuk membeli keperluan dapur lain," katanya.
Kata Kartini, suaminya walaupun dalam keadaan yang tidak mampu tetap membantunya dalam kerja-kerja rumah seperti masak, membasuh dan menjaga anak.
Bagi mereka yang ingin membantu keluarga ini, Kartini boleh dihubungi melalui talian 017-3137368.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: