Sunday, September 30, 2012

Jauh lebih murah

BERKONGSI...hobi bermain bot RC turut mengeratkan persahabatan ahli kelab.
BERKONGSI...hobi bermain bot RC turut mengeratkan persahabatan ahli kelab.
BERBANDING sesetengah permainan kawalan radio (RC) lain, bot RC menjadi pilihan sekumpulan lelaki kerana kos penyelenggaraannya dikatakan paling murah dan tidak membebankan peminatnya.
Pada masa sama, bot RC turut menawarkan cabaran ekstrem kepada peminatnya menerusi pergerakan tanpa had serta mampu memecut laju di atas air sehingga 140 kilometer sejam.
  • Foto PECUT...aksi bot RC yang dimainkan di Taman Tasik Kelana Jaya.
  • Foto LAJU...Taman Tasik Kelana Jaya antara tasik yang memiliki litar perlumbaan untuk bot RC serta pelantar khas untuk pemain.
  • Foto
Namun kelebihan dimiliki permainan bot RC ialah kos diperlukan setiap kali bermain hanya sekitar RM5 iaitu untuk membeli minyak petrol dan dengan bahan api sebanyak itu mampu bertahan setengah hari.

Bagi ahli Kelab PJRC Power Boat, selain kepuasan dan keseronokan, hobi bermain bot RC turut membantu mengasah kemahiran hidup serta menajamkan minda pemainnya.

“Sebelum merasa keseronokan bermain bot RC, peminat yang kali pertama mencuba hobi ini dinasihatkan meminta tunjuk ajar daripada pemain lebih berpengalaman bagi mengetahui tip penting untuk mengendalikannya.

“Tidak seperti hobi RC lain, bot RC biasanya dimainkan di tasik dan tidak mempunyai laluan khas dengan setiap inci kawasan tasik boleh dilalui.

“Insiden yang biasa berlaku di kalangan pemain yang baru mencuba bot RC ialah bot mereka hilang kawalan sehingga melanggar bot pemain lain atau melanggar objek lain di kawasan tasik,” kata Azman Abdul Ghani, 37.

Menurutnya, penubuhan Kelab PJRC Power Boat empat tahun lalu adalah atas inisiatif sekumpulan peminat bot RC daripada latar belakang berbeza yang menjadikan Taman Tasik Kelana Jaya sebagai lokasi pilihan mereka untuk bermain hobi ini.

Kata kakitangan Tenaga Nasional Berhad berasal dari Bachok, Kelantan ini, dia menyertai kelab berkenaan dua tahun lalu selepas tertarik dengan pelbagai aktiviti dianjurkan serta aktif menyertai banyak kejohanan, sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

“Hanya kos permulaan untuk bermain hobi ini yang sedikit mahal iaitu RM3,000 bagi membeli set lengkap, termasuk alat kawalan. Namun tidak seperti hobi RC lain, kos bermain dan selenggara jauh lebih murah.

“Sebagai contoh, setiap komponen kereta, kapal terbang atau helikopter RC berisiko tinggi rosak setiap kali terbabit kemalangan dan perlu diganti baru. Atas sebab ini saya menukar hobi daripada bermain kereta RC kepada bot,” katanya.

Sementara Mohd Hasrizan Mokhtar, 34, berkata, bermain bot RC kini menjadi hobi tetapnya kerana ia memiliki daya tarikan serta memberi kepuasan tersendiri kepada pemainnya.

“Istimewanya hobi ini, pemainnya boleh mengubahsuai setiap model bot RC mereka untuk meningkatkan kemampuan dengan menukar komponennya atau membuat penyelarasan.

“Cuma masalah utama peminat hobi bot RC di Malaysia kesukaran mendapatkan alat ganti atau komponen berkualiti.

“Kami tiada pilihan selain membelinya dari luar negara, terutama Thailand yang memiliki banyak kedai menjual alat ganti serta aksesori hobi ini,” katanya yang bekerja sebagai pengurus produksi di sebuah syarikat.

Manakala ‘orang lama’ dalam Kelab PJRC Power Boat, Rahban Tasarib, 48, menjadi tempat rujukan ahli kelab kerana tidak lokek berkongsi ilmu, termasuk cara mengubahsuai bot.

Pada masa sama, hobi ini turut memberikan sumber pendapatan sampingan buat guru vokasional ini kerana kebolehannya membuat bot RC sendiri yang memiliki kualiti sama seperti bot RC berjenama lain tetapi pada harga jauh lebih murah.

Pasangan adik beradik berasal dari Malim Nawar, Perak, Azmi, 40, dan Mohd Azizul Ngazmin, 33, pula berpendapat populariti bot RC semakin meningkat di negara ini, terutama sejak penghasilan enjin menggunakan sumber kuasa bahan api petrol yang jauh lebih berkuasa.

Menurut Azmi, penghasilan teknologi terbaru itu lebih menjimatkan berbanding
bot RC berkuasa bateri atau gas nitro.

“Ramai berpendapat permainan ini tidak mencabar kerana hanya dengan memiliki alat kawalan, bot RC dan mengisi minyak, ia boleh dimainkan. Namun bot RC berkuasa petrol memerlukan teknik dan skil untuk mengawalnya,” katanya.

Sementara itu Mohd Azizul yang bekerja sebagai juruteknik berkata, hobi bermain bot RC kini mampu dimainkan sesiapa saja dan bukan lagi untuk golongan tertentu.

“Penghasilan pelbagai jenis model berserta alat ganti model kawalan radio (RC) berkualiti sejak beberapa tahun kebelakangan ini menghidupkan kembali minat bermain permainan berkenaan di negara ini.

“Harapan kami hanya satu, iaitu lebih banyak kedai menjual aksesori dan alat ganti bot RC dibuka. Paling penting, ia menjual barangan berkualiti kerana selain tahan lama, ia dapat mening­katkan lagi prestasi bot RC,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: