Wednesday, September 26, 2012

Daun ara jadi produk kraf

Sebahagian daripada produk kraf yang dihasilkan Normadiah Sahid, yang boleh dijadikan sebagai perhiasan, hantaran perkahwinan dan cenderahati.
bunga ros daripada daun ara lebih cantik dan besar berbanding daun getah.
RAMAI yang sudah mengetahui bahawa daun getah boleh dijadikan produk kraf seperti bunga daun getah untuk dijadikan perhiasan, hantaran perkahwinan dan cendera hati.
Namun, selain daun getah, daun pokok ara juga boleh digubah untuk menghasilkan produk kraf yang sama.
Pengusaha kraf, Normadiah Sahid, 48, dari Labu, Seremban, Negeri Sembilan, mencipta kelainan dengan menggubah daun ara menjadi bunga, sementara daun getah dijadikan rantai kunci dan penanda buku.
Normadiah pernah mengikuti kursus asas pengeringan bunga di bawah Jabatan Pertanian dan hanya melihat daun getah digubah menjadi bunga.
Keunikan daun ara
Selepas beberapa tahun mengenali gubahan daun pokok getah, beliau mencuba penggunaan daun ara sebagai ganti, kerana mahu mencuba sesuatu yang baru.
"Saya pertama kali melihat daun ara di Cameron Highlands. Bentuknya agak menarik," katanya.
Ternyata gubahan menggunakan daun ara berbeza berbanding daun getah iaitu dari segi saiz dan bentuk serta lebih menarik perhatian ramai.
"Daun ara mempunyai ekor seperti ikan pari manakala bentuknya pula seperti hati yang agak menarik dan keunikan seni pada daun itulah membuatkan saya tertarik menggunakannya.
"Berbanding daun getah, proses penghasilan gubahan bunga dan kraf daun ara cepat, sebab itu saya tidak jemu mengulangi proses membuatnya.
"Membuat bunga ros daripada daun ara pun lebih cantik berbanding daun getah dan daun ara ini boleh dibuat bunga yang besar seperti bunga matahari," katanya.
Setakat ini beliau boleh menghasilkan tujuh jenis gubahan bunga daripada duan ara seperti bunga lili, bunga ros dan bunga ros kudup.
Proses menggubah
Mengulas cara pembuatan bunga daripada daun ara, Normadiah berkata pemilihan daun sangat penting bagi memperoleh hasil yang berkualiti dan memuaskan.
Daun ara perlu dipetik daripada pokoknya dari bawah tetapi pucuk daun ara tidak boleh digunakan untuk gubahan.
Daun ara perlu direndam dalam air sekurang-kurangnya sebulan untuk membuang lapisan hijau (klorofil) di samping mendapatkan urat daun yang berkualiti.
"Apabila daun ara yang berwarna hijau berubah warna dan hanya meninggalkan urat sahaja, daun-daun itu dibilas dan dibersihkan. Cecair peluntur perlu dicampur dalam air rendaman untuk menghilangkan bau daun itu.
"Daun ara yang sudah direndam dalam air bercampur cecair peluntur selama dua jam akan bertukar warna menjadi putih dan selepas itu daun perlu dibilas berkali-kali sebelum dikeringkan," katanya.
Selepas dikeringkan, daun ara akan melalui proses penyemburan pewarna mengikut cita rasa yang dikehendaki sesuai dengan pelbagai jenis dan bentuk bunga yang hendak digubah.
Sambutan
Selain menghasilkan gubahan daripada daun getah dan daun ara, Normadiah yang sudah 15 tahun menjalankan perusahaan kraftangan, turut menghasilkan beberapa produk kraf daripada bahan seperti buah labu, labu air, kundur dan manggis.
"Kebanyakan produk yang saya hasilkan ini banyak dibuat untuk tempahan terutama pada musim perkahwinan serta agensi kerajaan seperti pihak pelancongan dan pertanian sebagai cendera hati.
"Selain itu, produk seperti penanda buku dipasarkan di kedai-kedai buku sekitar Kuala Lumpur dan Taman Botani, Putrajaya mengikut tempahan," katanya yang memiliki sebuah kedai di pusat membeli-belah Seremban 2.
Pengusaha yang meminati perusahaan kraf sejak kecil ini juga pernah menerima tempahan daripada Pelancongan Malaysia sebanyak 30,000 keping penanda buku bersempena Tahun Melawat Malaysia 2006 dan sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-50 negara.
"Buat masa sekarang pelbagai bantuan telah saya peroleh seperti daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia yang banyak membantu mempromosi produk dan memberi mesin laminate, manakala Jabatan Pertanian membina bengkel di rumah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: