Thursday, August 30, 2012

Mencantum tekstil lama

Zubaidah Sual sanggup berkursus hingga ke luar negara demi seni pemuliharaan tekstil.

KERANA minat yang mendalam dalam seni pemuliharaan tekstil ini, Zubaidah telah menyertai kursus di United Kingdom (UK) pada tahun 1990-an selama lebih setahun dan kemudian ke Switerland untuk mengikuti kursus yang sama selama tiga bulan.

‘‘Bila pulang ke tanah air, saya cuba mengaplikasikan pengetahuan saya itu di tempat saya bertugas iaitu sebagai Penolong Kurator di Muzium Negara waktu itu tetapi tidak banyak yang dapat dilakukan memandangkan saya terbabit dalam bidang penyelidikan tekstil.

‘‘Hanya selepas bersara baru saya mendapat banyak masa untuk melakukan bidang yang diminati ini dengan memulihara tekstil lama yang menjadi sejarah kepada sesuatu golongan atau individu tertentu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Zubaidah berkata, pelbagai jenis tekstil lama perlu dihargai dan disimpan sebagai warisan zaman kerana ia adalah eksklusif dan tidak boleh didapati di mana-mana.

Sekiranya ia tidak dijaga, contoh kain limar, kain telepuk, kasut, kain kaca berderai, songket lama dan sebagainya, pastinya tekstil warisan zaman itu akan hilang dan pupus dengan sendiri.

Malangnya, menurut Zubaidah, masyarakat di negara ini masih belum tinggi kesedarannya untuk menjaga tekstil lama.

‘‘Sehinggakan generasi akan datang tidak lagi mengenali material seperti ini. Justeru, pemuliharaan seperti ini perlu dilakukan agar jangka hayat tekstil berkenaan akan lebih panjang," jelas beliau.

Katanya, seperti di luar negara, pihak yang dipertanggungjawabkan amat menjaga kepentingan warisan bersejarah mereka seperti bendera contohnya Union Jack yang asal akan dibersihkan, dijahit dan disimpan sebagai artifak bersejarah.

Menurut Zubaidah, semua bahan yang diperbuat daripada benang seperti karpet atau sebagainya boleh dibaik pulih.

Beliau memberitahu, di muzium-muzium terdapat bahagian pemuliharaan yang bertanggungjawab membaiki bahan-bahan tekstil atau artifak seperti ini.

Zubaidah juga mendakwa, beliau satu-satunya orang perseorangan yang melakukan usaha-usaha pemuliharaan itu setakat ini yang biasanya diminta oleh individu atau syarikat yang mahu menyelamatkan sesuatu bahan asal itu.

‘‘Melakukan pemuliharaan memerlukan kesabaran dan minat kerana kerjanya yang amat remeh dan memakan masa berhari-hari.

“Cara kerjanya juga melihat kepada jumlah kerosakan yang berlaku pada tekstil atau material berkenaan, iaitu sama ada ia memerlukan pelapik, lining, lining sepenuhnya, benang yang digunakan perlu dicelup dengan warna asal yang perlu dibuat sendiri, jarum halus, benang khas dan mempunyai teknik jahitan tertentu," katanya.

Namun, beliau tidak melakukan kerja-kerja itu dengan sangat teliti kerana tidak cukup peralatan. Tetapi, hasil yang didapati selepas menyiapkan sesuatu bahan itu adalah memuaskan hati semua pihak terutama pelanggannya.

‘‘Kebanyakan tekstil di negara ini tidak kotor. Jika tidak, ia memerlukan vakum untuk pembersihan terlebih dahulu sebelum dibaiki.

‘‘Jika di luar negara, ramai sukarela yang mahu membantu menjahit material dan tekstil seperti ini kerana mereka didedahkan dan dididik dengan kepentingan menjaga warisan lama.

‘‘Tambahan, kerja-kerja seperti ini sebenarnya memberikan pulangan yang lumayan sekiranya benar-benar berminat untuk melakukannya," katanya.

Justeru, bagi sesiapa yang berminat dalam bidang ini perlu menjalani latihan terlebih dahulu tanpa mengambil masa yang terlalu lama.

Bagi Zubaidah, hanya kepuasan yang ada padanya selepas setiap kali melihat tekstil berkenaan bercantum semula dan boleh dipamerkan atau digunakan semula.

‘‘Kita akan merakamkan gambar sebelum dan selepas tekstil berkenaan lengkap dan siap. Semestinya ia akan menjadi sesuatu yang amat dihargai kerana ia adalah satu bidang tugas yang penting," katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor dan mempunyai tiga anak dan empat cucu.

Zubaidah yang juga pemilik Butik dan Galeri Cashmere berupaya memberi latihan dalam bidang pemuliharaan tekstil ini kepada orang luar. Sekiranya berminat anda boleh hubungi talian 013-3927809 dan 012-3253360 untuk pertanyaan lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: