Buruh rugi RM 4,300 disamun
Ismail (kanan) menunjukkan kecederaan dialami di bahagian lengan kanan ketika bergelut dengan penjenayah anak beranak yang berjaya menyamum wang RM4,300 miliknya

DUNGUN - “Kenapa buat saya macam ini, saya hanya ingin minta tolong, kalau awak hendak duit saya boleh beri, tapi jangan pukul saya, duit ini saya hendak kirim pada ibu saya yang sedang sakit."

Demikian rayuan rayuan Ismail Hussain, 23, ketika dia disamun sekumpulan penjenayah anak beranak di dalam semak, Jalan Santong, dekat sini, petang kelmarin.

Ketika kejadian, Ismail yang merupakan seorang buruh berketurunan Bangladesh, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Nyior ke bandar Paka, bersama lima suspek disangka jiran tetangga yang boleh membantunya untuk mengirim wang kepada ibunya yang sedang sakit di tempat kelahirannya, di Chandur, Bangladesh.

Peristiwa malang itu dikatakan bermula apabila Ismail meminta tolong seorang jiran wanita yang dikenalinya sebelum ini, di pekan Paka bagi memasukkan wang dalam akaun bank untuk dikirimkan kepada ibunya.

Ismail berkata, beberapa ahli keluarga wanita berkenaan yang secara kebetulan berada di rumah jiran wanita itu menawarkan diri untuk membawa Ismail ke bank di bandar Paka dengan menaiki sebuah kenderaan.

Bagaimanapun, sampai di bandar Paka, suspek tidak membawa Ismail ke bank, sebaliknya membawa mangsa ke tepi pantai lalu menurunkan seorang daripada lima suspek yang berada dalam kenderaan itu.

Ismail kemudiannya dibawa ke satu kawasan semak menyebabkan mangsa yang sudah menetap hampir empat tahun di negara ini tidak rasa sedap hati selepas tiba di lokasi sunyi itu.

Sampai di penghujung jalan, suspek dikatakan memberhentikan kenderaan di situ, salah seorang daripadanya mengeluarkan buku lima lalu cuba merampas beg duit mangsa sehingga berlaku pergelutan.

Ismail berkata, seorang suspek dikatakan telah memukulnya di bahagian kepala dan dia cuba melawan, namun dihalang oleh beberapa lagi suspek lain yang berada di tempat duduk belakang kereta.

“Saya merayu beberapa kali meminta tolong agar tidak mengapa-apakan saya.

“Dia cuba menarik beg tangan tetapi saya cuba menghalang namun mereka terus memukul saya sebelum berjaya merampas beg yang mengandungi duit itu,” kata Ismail yang kerugian RM4.300 selepas wang tunai dalam begnya dilarikan kumpulan suspek terbabit.

Menurut Ismail, dia ditinggalkan oleh suspek di lokasi tersebut, sebelum dia keluar mendapatkan pertolongan daripada orang ramai di jalan utama.

“Saya sedih sekarang, ibu saya perlukan duit untuk membeli ubat, duit yang saya simpan sejak tiga bulan lalu pula sudah hilang.

“Saya tidak sampai hati hendak beritahu ibu saya tentang perkara ini takut dia risau,” katanya.

Ismail yang bekerja sebagai buruh kontrak dengan pendapatan RM8 satu jam itu kemudiannya membuat satu laporan polis di Balai Polis Paka.

Berikutan itu, polis berjaya menahan seorang suspek di Paka kira-kira jam 12.25 awal pagi semalam manakala tiga lagi suspek dipercayai termasuk anak menantu dan bapa mertua itu kini masih diburu polis.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, mengesahkan menerima laporan dan pihaknya masih menjalankan siasatan berkaitan kes samun melibatkan mangsa warga asing itu.