Sunday, July 29, 2012

Terokai pasaran Filipina

PARA karyawan filem Filipina menyambut baik kedatangan delegasi Gafim sewaktu kunjungan mereka di Makati City, Manila, Filipina baru-baru ini.

PELUANG pasaran drama televisyen dan filem bukan setakat di negara ini semata-mata. Sebaliknya, ia juga boleh diterokai di negara-negara Asia Tenggara seperti Filipina yang mempunyai hubungan lebih erat dari segi sosio politik dan budaya.

Menyedari hakikat itu, Gabungan Persatuan Karyawan Perfileman Malaysia (Gafim) mula mengorak langkah dengan membawa ahli-ahli di bawah naungannya ke Manila, Filipina baru-baru ini. Ia salah satu usaha untuk merebut lebih banyak peluang tersebut.

Menurut Presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli, sudah sampai masanya penerbit dan pembikin drama serta filem tempatan mencari peluang pasaran filem di negara yang mempunyai penduduk berjumlah hampir 100 juta orang itu.

“Dari bilangan rakyat Filipina itu sahaja sudah boleh menggambarkan peluang yang tersedia di sana. Ini adalah kali pertama Gafim melakukan inisiatif ini di mana ia banyak membuka peluang kepada ahli-ahli gabungan ini," katanya kepada Hits selepas majlis itu diadakan.

Dalam rombongan itu, banyak syarikat produksi Malaysia seperti Sheunik Sdn. Bhd. dan NDG Productions yang diwakili Sid Tamrin turut serta merebut peluang tersebut. Beberapa siri kerjasama dua syarikat terbabit dengan para karyawan filem Filipina telah diadakan.

Bukan setakat para penerbit dan pengarah malah wakil-wakil pengedar, stesen televisyen, wakil-wakil media massa serta para karyawan filem Filipina turut hadir menyaksikan detik-detik yang bersejarah itu.

Tiga produk hasil usahasama antara dua syarikat Malaysia itu dengan karyawan filem Filipina telah dimenterai. Dua daripadanya menerusi Sheunik Sdn. Bhd. yang menerbitkan sebuah filem berjudul Ponti‘anak: The Malaysian Trial arahan pengarah Filipina, Alvin B. Yapan.

Filem itu seratus peratus akan menjalani penggambaran di Filipina dan hasil usahasama dengan Alemberg Ang iaitu seorang penerbit terkenal di sana menerusi syarikat produksi VYAC Production. Pelakon dari Malaysia juga dijangka berlakon sama.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Sheunik Sdn. Bhd., Richard Ung Kok Kee, selain filem pihaknya turut menjalin kerjasama dalam menerbitkan dokumentari di sana. Antara dokumentari yang akan diterbitkan tidak lama lagi berjudul Nourishing Asian - Rice sebanyak 20 episod membabitkan 10 negara ASEAN.

“Dokumentari Nourishing Asian - Rice ini mempunyai 20 episod dan setiap episod mempunyai durasi sejam. Dua episod itu akan menjalani penggambarannya di Filipina. Untuk itu, kami telah bekerjasama sebuah syarikat produksi Filipina iaitu Voyage Studio arahan Baby Ruthvillerama.

“Tujuan kerjasama ini diadakan ialah bagi memastikan produk-produk kami itu dapat ditayangkan di televisyen dan pawagam di sana. Tanpa adanya kerjasama seperti ini sukar untuk produk-produk kita memasuki pasaran Filipina. Ini adalah peluang kita di sana.

“Melalui cara ini kita memberi peluang pekerjaan kepada para karyawan filem di sana di mana mereka amat mengalu-alukannya. Sebagai balasannya maka barulah produk kita boleh dipasarkan di negara mereka," ujarnya penuh yakin.

Nourishing Asian - Rice bukan setakat membabitkan Filipina malah penggambarannya turut dijalankan di sembilan lagi negara ASEAN. Setiap negara akan menampilkan dua episod di mana penggambarannya akan diadakan di negara-negara terbabit dengan kos keseluruhannya mencecah RM2 juta.

Penerbitan dokumentari dan usahasama itu boleh dianggap sebagai perkongsian pintar kerana apabila siap kelak ia akan ditayangkan di stesen-stesen televisyen setiap negara terbabit. Sheunik Sdn. Bhd. secara tidak langsung telah memasarkan produk mereka di seluruh negara ASEAN.

Selain daripada dua produk itu, NGD Productions iaitu sebuah lagi syarikat produksi Malaysia turut bekerjasama menerbitkan sebuah filem berjudul Petals Pour In Petaling yang mengisahkan tentang kehidupan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur arahan pengarah Filipina, Emerson Reyes.

Pada kunjungan itu, delegasi Gafim turut diwakili beberapa wakil persatuan-persatuan di bawah gabungan itu seperti Zed Zaidi yang mewakili Persatuan Seniman Malaysia, Khir Mohd. Noor (Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia) serta Khalim Rohani (Persatuan Penyiar Malaysia).

Kehadiran mereka sedikit sebanyak membantu Gafim dalam menerangkan iklim perfileman dan dunia penyiaran di Malaysia. Sesi perbincangan dua hala itu turut membabitkan pihak kerajaan Filipina yang menghantar Ketua Pusat Kebudayaan Filipina, Edward Cabagnot.

Menurut Edward, pihaknya mengalu-alukan kunjungan deligasi Gafim itu yang mampu merancakkan lagi industri perfileman dua negara terbabit.

“Lima tahun kebelakangan ini industri perfileman Filipina teruk. 90 peratus pembikin filem di sini adalah golongan pembikin filem bebas dan 10 peratus lagi daripada arus perdana. Kami menerbitkan sekitar 150 buah filem setahun dan 90 peratus adalah filem-filem independent (bebas).

“Kebanyakan pawagam di sini lebih menayangkan filem-filem Hollywood. Ia ekoran kurangnya filem-filem cereka terbitan tempatan. Dengan penduduk seramai hampir 100 juta, bilangan filem cereka yang diterbitkan itu masih belum mencukupi dengan penduduk yang ada.

“Setakat ini filem cereka Filipina yang paling tinggi kutipannya sebanyak RM21 juta menerusi filem Private Benjamin pada tahun lalu. Dengan adanya usahasama hasil usaha Gafim ini, kami harap ia akan memeriahkan lagi industri perfileman di sini," katanya optimis.

Turut diadakan ialah lawatan ke stesen penyiaran terkemuka ABS-CBN di Manila. Pada kunjungan itu pihak stesen televisyen tersebut telah berminat untuk menayangkan filem Libas arahan Jurey Latiff selepas mereka melihat sedutan promo filem yang antaranya dilakonkan oleh Rosyam Nor dan Scha Al-Yahya itu.

Ternyata kunjungan delegasi Gafim yang turut disertai wakil-wakil media massa dari Malaysia dan Filipina itu merupakan titik permulaan kerjasama dalam bidang perfileman di antara dua negara. Delegasi lain akan menyusul lebih banyak lagi selepas ini nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: