Sunday, July 29, 2012

Serasi bersama

ANA dahlia mahu watak yang lebih mencabar untuk menguji kredibilitinya sebagai pelakon.

DI kalangan rakan artis, Ana Dahlia dikenali kerana pandai memasak. Malah Mohd. Nadzri Redzuawan atau Chef Riz, 30, pernah membuat pengakuan yang dia tertarik untuk menyunting Ana sebagai isteri kerana kelebihannya itu.

Bagaimanapun setelah bergelar isteri kepada Chef Riz yang pakar memasak itu, Ana mengaku yang dia jarang membantu suaminya di dapur.

Malah jelasnya, jika tidak sibuk di lokasi penggambaran, dia lebih senang menghabiskan masa di rumah berbanding menemani Chef Riz di restoran.

Pun begitu, sempat juga dia membantu suaminya itu sewaktu pembukaan Restoran Flavours, Bangsar, Kuala Lumpur, milik Chef Riz.

"Bukan Ana tidak mahu bantu, Riz kalau di dapur cukup garang. Dari Ana sakit hati kena marah, biarlah buat kerja di rumah. Kalau dia memerlukan bantuan sangat-sangat barulah Ana pergi.

"Ana pun tahu kalau di restoran, dia yang berkuasa dan sebab itu Ana panggil dia Chef. Selaku Chef, dia memang cerewet dan sebab itu jugalah Ana jarang ke sana," katanya tersenyum.

Kata Ana, biarpun Chef Riz pakar dalam bidang masakan namun jika di rumah suaminya itu lebih gemar makan makanan kampung masakannya.

"Makanan yang sering disajikan untuk Riz adalah tomyam udang, sup tulang dan kangkung goreng belacan. Hari-hari dapat menu ini pun dia tidak kisah.

"Bulan Ramadan ini, Riz paling suka kalau berbuka dengan keluarga Ana sebab kami enam beradik. Ana pun suka berbuka dengan keluarga sebab bila ramai riuh rendah jadinya," cerita anak kedua itu.

Belum rezeki

Ana yang bergelar isteri kepada Chef Riz pada 11 Disember 2011 berkata, seperti pasangan lain mereka juga mendambakan suara anak kecil.

Namun sehingga kini, pasangan tersebut masih lagi menanti saat-saat indah itu.

"Nak buat macam mana belum rezeki kami. Kalau ikutkan Ana dan Riz, kami tidak kisah jika diberi anak dalam waktu terdekat ini.

"Ana percaya mesti ada hikmah di sebaliknya kenapa dalam tempoh ini Ana belum hamil. Mungkin masih baru lagi. Lagipun ibu bapa kami tidak sibuk bertanya pasal cucu," kata menantu kepada Datuk Chef Wan ini lagi.

Cari peluang baru

Biarpun namanya semakin menonjol dalam bidang lakonan namun di sudut hati Ana Dahlia tersimpan hasrat untuk menjadi pengacara program.

"Berlakon memang Ana suka tapi kata orang kalau boleh nak kembangkan bakat sebab pengacaraan pun cabang seni juga.

"Itulah kalau ada peluang untuk mengacara program berbentuk kewanitaan atau apa sahaja, mesti Ana terima," katanya terus terang.

Ana yang pernah muncul dalam filem Mantera dan bakal tampil dalam filem Gila-Gila Remaja 2 berharap di masa akan datang, dia berpeluang berlakon dengan aktor tersohor Eman Manan.

"Siapa yang tak nak berlakon dengan Eman Manan. Kalau ada tawaran berlakon dengan dia, pasti Ana tidak menolak. Selain itu, orang baru seperti Ana mesti idamkan untuk berlakon dengan pelakon ternama," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: