Pegawai polis tak mengaku salah
Mohd Azuan dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Seremban, semalam

SEREMBAN – Seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dakwaan memukul dan mengugut dua lelaki, serta memecahkan cermin dua kenderaan, dua minggu lalu.

Mohd Azuan Yasin, 32, dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan menakutkan Mohamaed Nadzeem Zainal Larifin, 25, dengan menggunakan objek keras menyerupai pistol, kira-kira jam 2.50 pagi di ruang tamu Hotel S2, di sini, 17 Julai lalu.

Dia turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap Koh Wen Gio, 32, pada masa dan tempat yang sama.

Mohd Azuan juga didakwa memecahkan cermin dua kenderaan membabitkan kerugian RM330 di sebuah kedai kopi di Temiang di sini, kira-kira jam 5.45 pagi, pada tarikh yang sama.

Bagi kesemua pertuduhan itu, dia didakwa dibawah Seksyen 324, Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut mengarahkan agar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar luas di dalam laman Youtube dikeluarkan serta merta, selain melarang video terbabit disiarkan dalam mana-mana medium, bagi mengelakkan prejudis.

Untuk kesemua pertuduhan, Mohd Azuan dikenakan ikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 13 September depan untuk tarikh sebutan semula kes berkenaan.