Reen Rahim
Reen Rahim

NAMA Reen Rahim mungkin agak asing buat sesetengah peminat industri seni.

Namun, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat juara program realiti Pilih Kasih musim ketiga ini untuk meneruskan langkah dalam bidang seni.

Biarpun mempunyai pakej lengkap sebagai pelakon - rupa paras jelita dan berbakat besar, namun gadis berusia 24 tahun ini tidak mahu mengecapi populariti bersandarkan rupa atau kisah kontroversi semata-mata.

"Jika dibandingkan saya dengan artis-artis baru 10 tahun lalu, saya kira cukup bertuah kerana mempunyai platform untuk berkecimpung dalam industri ini.

"Biarpun saya menyandang gelaran juara, saya sedar ia bukan tiket untuk saya terus ke puncak. Saya sedar perlu terus berusaha dan berusaha.

"Jadi saya sentiasa berpegang kepada nasihat abang Rosyam Nor, sentiasa berusaha untuk dapatkan kerja dan bukan duduk goyang kaki dan tunggu kerja datang kepada saya," ujar pemilik nama sebenar Noreen Ashikin Abdul Rahim.

Sedar akan persaingan sengit dalam industri ini, Reen berpegang kepada prinsip, jangan sekali-kali mengambil jalan mudah, sebaliknya biarlah sesuatu itu datang kerana ia rezeki.

"Saya pernah menyertai industri seni kerana minat yang mendalam enam tahun lalu dengan menerima watak-watak sampingan. Mungkin kurang bertuah, saya akhirnya meninggalkan industri ini.

"Malah saya juga telah lama mengimpikan untuk menyertai Pilih Kasih sehinggalah terdengar mengenai iklan uji bakat Pilih Kasih musim ketiga di radio. Saya tak sangka percubaan pertama saya terus membuahkan hasil yang cukup memberangsangkan," katanya.

Puasa di lokasi

TIGA bulan selepas memulakan karier secara rasmi, Reen mengakui cukup bertuah apabila mendapat peluang bekerja di bawah dua produksi hebat - Skop Production dan Excellent Pictures.

Reen yang dipilih berlakon dalam filem Gangster Celop akan bergandingan bersama Kamal Adili, Syamsul Yusof dan Haniz Zalikha.

"Saya cukup bertuah kerana berpeluang bekerja dengan\ pengarah berkaliber seperti Ahmad Idham. Gangster Celop adalah fi lem pertama saya.

"Memang teruja, apatah lagi penggambaran filem ini akan menjadi pengalaman pertama saya berpuasa di lokasi.

"Saya berharap, selepas fi lem ini ditayangkan kelak, penonton akan lebih mengenali dan menerima saya di dalam industri ini," katanya yang mengimpikan watak aksi.