Tuesday, July 31, 2012

Illa Sabry Labur Hampir RM100 Ribu Untuk 'Muncul' Semula

Illa Sabry.

PETALING JAYA: Penyanyi Illa Sabry menganggap kemunculan semulanya ke persada muzik tempatan selepas lapan tahun menyepi bukannya sudah ketinggalan meskipun ramai artis seangkatannya sudah jauh ke hadapan.

Illa atau nama sebenarnya Fasillah Sabry, 33, berkata, walaupun agak terkebelakang, dia percaya dengan memiliki sebuah album yang bagus, namanya mungkin mampu diangkat semula seperti pada era kegemilangannya sekitar tahun 2004.

"Dalam industri muzik kita sekarang ini, agak susah untuk menjangkakan mengenai penerimaan umum terhadap lagu-lagu kita.

"Namun saya yakin dengan pelaburan hampir RM100,000 bagi mendapatkan lagu-lagu yang bagus, ia mudah menarik perhatian pendengar dan populariti itu akan muncul dengan sendirinya.

"Lagipun saya akan menyanyikan semula lagu Keranamu Kekasih, yang pernah menaikkan nama saya dahulu dengan susunan muziknya lebih segar khas buat peminat yang baru mengenali saya," katanya yang ditemui di studio Menara Star, di sini, Isnin.

Tambah Illa, album baru yang akan dilancarkan pada penghujung tahun ini dihasilkan dengan kerjasama komposer hebat iaitu Ajai, Aidit Alfian dan Adi (6ixth Sence).

Penyanyi kelahiran Perlis ini memberitahu, tujuannya untuk menyertai semula dalam bidang nyanyian juga tiada kena mengena untuk bersaing dengan penyanyi yang sedia ada, sebaliknya sekadar ingin memeriahkan industri muzik tanah air.

"Saya seorang yang sangat teliti dan bersungguh dalam hal kerja. Kemunculan semula saya ini juga dibuat hasil daripada usaha saya yang terlalu rindu beraksi di atas pentas.

"Sebab itu komposer yang dipilih untuk projek album saya ini bukan calang-calang orang. Semoga saya diberi peluang lagi," ujarnya.

Walaupun yakin dengan lagu-lagu baru yang bakal muncul tidak lama lagi, graduan bidang pengurusan perniagaan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) ini agak risau dengan tubuh badannya yang sedikit berisi.

Dia kini sedang berusaha untuk menurunkan berat badannya mengikut kadar yang sesuai bagi seorang penyanyi.

"Di Malaysia, para selebriti perlu menjadi cantik buat tatapan peminat-peminat mereka. Dan apabila saya muncul semula di khalayak, pasti ramai yang akan terkejut dengan perubahan diri saya yang ketara berbanding dahulu.

"Bayangkan, lapan tahun dahulu, berat saya hanya 47 kilogram (kg) dan kini saya sudah 63 kg. Ini pun dah turun sedikit selepas saya menjaga rutin pemakanan dan senaman sejak April lalu," katanya yang menyasarkan berat 56 kg sebelum pelancaran album barunya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: