Sunday, July 29, 2012

Bond, Mr. Bean, Ratu serikan pembukaan

PANDELELA Rinong membawa Jalur Gemilang mengetuai perbarisan kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan Sukan Olimpik 2012 di Olimpik Park, London semalam.

LONDON - Dengan kata-kata "Selamat Petang, Mr. Bond", Ratu Elizabeth buat pertama kali mempamer bakat lakonannya di sisi Daniel Craig dan sekali gus membuka tirai upacara pembukaan Sukan Olimpik London 2012.

Pengarah yang memenangi Oscar, Danny Boyle menerusi filem Slumdog Millionaire selalu berkata, dia tidak mampu menyaingi bajet besar pengarah House of Flying Daggers, Zhang Yimou yang diberi tanggungjawab bagi mengendalikan upacara pembukaan pada Temasya Beijing 2008.

Sebaliknya, pengarah itu memanfaatkan kelebihan dimiliki menampilkan ikon Britain, JK Rowling membaca cerita dongeng Peter Pan, telatah Mr. Bean yang berpura-pura mengalunkan muzik, Chariot of Fire dan bintang bola sepak, David Beckham memandu bot laju merentas Sungai Thames membawa obor Olimpik.

Dengan alunan bacaan puisi karya Shakespeare dan disusuli juara Tour de France, Bradley Wiggins membunyikan loceng terbesar di dunia, upacara pembukaan Olimpik bermula.

Berbeza dengan persembahan warna-warni Zhang Yimou di Beijing empat tahun lalu, Boyle lebih selesa menggunakan pendekatan lembut menerusi latar set perkampungan Inggeris yang mencetuskan nostalgia di jiwa para hadirin.

Bermula dari situ, dia kemudiannya mengetengahkan suasana Revolusi Industri, dengan serombong yang mengeluarkan asap di seluruh stadium sambil diiringi bunyi gendang.

Pada upacara pembukaan juga, alunan muzik yang menjadi halwa telinga para penonton merupakan ramuan yang cukup penting. Boyle memanfaatkan populariti penyanyi The Beatle, Paul McCartney yang tampil mendendangkan lagu Hey Jude.

Setelah perarakan masuk negara-negara peserta, obor Olimpik dibawa mengelilingi stadium oleh tujuh atlet muda.

Hati para tetamu turut tersentuh apabila menyaksikan legenda tinju, Muhammad Ali menjadi tetamu khas bagi mengiringi bendera Olimpik yang dibawa masuk ke stadium untuk dikibarkan.

Acara pembukaan bermula pada pukul 9 malam (waktu tempatan) di Stadium Olimpik yang boleh memuat 80,000 penonton yang terletak di Stratford, Timur London. Ribuan peserta mengambil bahagian untuk membuat persembahan yang mempersonakan selama dua jam.

Dengan bertemakan Isles of Wonder digambarkan transformasi yang dialami negara tersebut bermula dari zaman revolusi perindustrian di abad ke-18 sehinggalah ia mencapai pemodenan dan perubahan pesat. Mengakhiri segmen pertama, lima bulatan yang melambangkan simbol Olimpik dinaikkan di tengah-tengah stadium sebelum ketibaan Ratu Elizabeth 11 pada 9.30 malam.

Pada pukul 10.30 malam, perarakan kontinjen dari 204 negara yang mengambil bahagian pun bermula didahului oleh kontinjen Afghanistan. Kontinjen Malaysia yang mengandungi 22 atlet dan pegawai dengan diketuai Ketua Kontinjen Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan pembawa Jalur Gemilang, Pandelela Rinong berarak lalu pada 11.13 malam.

Kontinjen Malaysia, bagi peserta lelakinya memakai baju kebangsaan berwarna kuning dan berjalur hitam yang melambangkan warna 'Harimau Malaya' serta bertanjak sementara peserta wanita berbaju kurung dan berselendang..

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: