Serina Redzuawan
Serina Redzuawan

Bukan mudah bergelar anak kepada chef terkenal apabila dirinya sering dikaitkan dengan si bapa yang cukup tangkas di dapur.

Mula menceburi bidang hiburan dengan kerjaya pengacara dan pelakon, Serina Redzuawan tidak pernah terdetik untuk menyertai program realiti masakan.

Namun, tawaran daripada Astro untuk menyertai MasterChef Selebriti Malaysia dianggap sebagai satu cabaran buat dirinya sendiri untuk mengasah lagi kemahiran memasak.

Bagaimanapun, sebelum bersetuju menyertai program itu sudah pastinya timbul tekanan kerana memikirkan harapan orang ramai yang mahu melihat sejauh mana kemampuannya dalam bidang tersebut.

Meskipun telah menunjukkan ketangkasannya dalam memasak, namun nasib tidak menyebelahi wanita ini yang terpaksa disingkirkan pada episod ke-10 program tersebut.

Menjadi selebriti keempat yang tersingkir, Serina tidak terkilan dengan keputusan yang dibuat oleh juri MasterChef. Malah, wanita ini menganggap penglibatannya dalam program itu sebagai tempoh pembelajaran untuknya mengetahui menu-menu baru yang belum pernah dimasak sebelum ini.

Tambahan pula, wanita berusia 29 tahun ini mengakui setiap pesaing yang bertanding dalam program itu masing-masing mempunyai kemahiran dan bakat dalam memasak.

“Biarpun tersingkir dalam MasterChef Selebriti, namun saya anggap itu sebagai lumrah pertandingan yang ada kalah dan menang.

Jika kita lihat selebriti yang terlibat dalam program itu kesemuanya mempunyai bakat memasak baik lelaki mahupun perempuan.

“Saya gembira dapat menyertai program itu selain mempelajari perkara baru, kita juga dapat menyumbangkan sesuatu kepada badan amal,” katanya yang berjaya mengumpul RM2,500 untuk disumbangkan kepada Rumah Ehsan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tolak tawaran JJCM

Masih lagi berkisarkan soal makanan, Serina memberitahu ada menerima tawaran untuk mengacarakan kembali program Jalan Jalan Cari Makan (JJCM).

Namun, menurutnya, dek kerana tawaran tersebut datang ketika dia sedang sibuk dengan program Jaguh Kampung yang disiarkan di Astro, jadi dia terpaksa menolak tawaran tersebut.

“Selepas program MasterChef, saya ada terima tawaran daripada JJCM, namun saya terpaksa menolak kerana komitmen lain.

“Buat sementara ini, saya sibuk dengan program Jaguh Kampung dan juga sedang berjinak-jinak menjadi penerbit,” katanya yang menerbitkan telefilem 26 episod di RTM, berjudul Titisan Darah Pahlawan.

Jadi duta produk

Selain bergelar penerbit, Serina yang ditemui semasa pelancaran restoran Flavours di Bangsar, baru-baru ini turut memberitahu dia kini menjadi duta produk penjagaan kulit, C’est Belle dan barangan solekan berjenama La Lumiere.

Tidak mahu sekadar bergelar duta tanpa mengambil tahu mengenai produk yang diwakili, Serina berkata, dia mengambil masa untuk bersetuju menjadi duta produk tersebut.

“Sebagai selebriti, saya perlu memastikan produk yang saya wakili tidak membahayakan. Jadi, sebelum bersetuju, saya cakap kepada mereka untuk cuba produk tersebut dahulu.

“Dan Alhamdulillah, saya dapat lihat kesannya kepada kulit wajah saya. Menariknya produk ini bukan hanya mencantikkan wajah sebaliknya turut merawat wajah kita,” katanya yang sudah memakai produk itu selama enam bulan.