Peserta konvoi teruja nikmati asam pedas Parit Sulong
Ahli Kelab Tulang Bikers bergambar kenangan di Gerai Ibu, Parit Sulong untuk merasa keenakan asam pedas yang dihidangkan.

PARIT SULONG – Cakap-cakap mengenai keenakan hidangan asam pedas di Parit Sulong membawa kepada kunjungan peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi, Tulang Bikers dari Serdang Selangor.

Wakil kelab motosikal berkenaan, Anuar Majid berkata, pihaknya begitu teruja berita kesedapan makanan itu dan mengambil pendekatan mengunjungi lokasinya di sini.

“Kami terus merangka perjalanan yang jauhnya melebihi 300 kilometer ini, dan setelah mendapat kata sepakat seramai 20 ahli kelab ini menyertainya, selain kebanyakannya belum pernah sampai ke Batu Pahat.

“Teruja dengan perjalanan dan perasaan ingin menikmati ‘asam pedas’ yang terdapat di lokasi berkenaan kami telah bertolak seawal jam 7.30 pagi, dan tiba sekitar jam 11.30 pagi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta konvoi berkenaan, Faizal Zakaria yang lebih mesra disapa dengan panggilan Pjai, berkata selain ke selatan tanah air ini, kelab berkenaan telah pergi ke utara dan juga pantai timur. Katanya, mereka juga pernah berkonvoi ke luar negara, seperti ke Phuket dan Koh Samui, selain bercadang untuk pergi ke Ho Chi Minh, di Vietnam serta beberapa lagi kawasan yang lain, di luar negara.

“Dalam konvoi yang kami laksanakan ini, kebanyakan motosikal yang digunakan ialah dari jenis Kawasaki, BMW, dan Suzuki yang mana konvoi terbabit tidak mementingkan kelajuan tetapi bergerak dalam satu pasukan.

“Kebiasaannya konvoi yang kami lakukan ini bukan hanya kami lakukan dengan konvoi kosong sahaja, tetapi kami isi dengan kerja amal apabila sampai sahaja di sesuatu kawasan.

“Biasanya kami akan melakukan kerja bergotong-royong dengan penduduk tempatan, yang menyambut kami, selain kami juga pernah memberikan sumbangan kepada anak yatim,” katanya.