Monday, June 25, 2012

Gaya lasak bapa dan anak


KOLEKSI Totally Vintage, mengambil inspirasi daripada keunikan jip tentera Willy.


MENGAMBIL inspirasi daripada pengangkutan ikonik perang Dunia Kedua di Amerika Syarikat (AS) iaitu jip Willy yang dikeluarkan pada tahun 1940-an, jenama Jeep memperkenalkan koleksi fesyen terbaharu buat golongan jejaka dan kanak-kanak.

Himpunan pakaian yang dilancarkan pada baru-baru ini, nampaknya bertepatan dengan mood sambutan Hari Bapa yang diraikan sepanjang bulan Jun. Kehadiran koleksi fesyen yang diberi nama Totally Vintage, tersebut bagaikan mengajak golongan bapa bersama anak-anak menyarungkan pakaian yang selesa serta berkualiti sewaktu melakukan aktiviti lasak.

Biarpun mengangkat konsep rekaan ranggi dan ala kembara, namun pakaian Totally Vintage, masih ideal untuk digayakan oleh jejaka urban sewaktu bersantai sambil menghirup kopi di kafe dalam bandar mahupun ketika menenangkan fikiran di percutian ulau.

Selain menampilkan seleksi seluar panjang kargo iaitu sejenis seluar potongan longgar yang mempunyai poket di bahagian tepi paha, koleksi Totally Vintage turut menawarkan seluar khaki dan seluar bermuda paras lutut.


SELAIN golongan jejaka, koleksi fesyen Totally Vintage turut menawarkan pakaian kanak-kanak yang menampilkan gaya ceria dan comel.


Jejaka diberi kebebasan sama ada untuk memiliki seluar rona gelap seperti hitam atau coklat, ataupun warna terang yang terdiri daripada nuansa kuning, jingga dan biru denim. Palet warna pilihan itu sesuai dipakai pada sebelah siang dan sebelah malam.

Bagi menyuntik penampilan yang segak dan tampak lasak, praktikkan saja konsep suai dan padan mengikut cita rasa serta kesesuaian lokasi. Antaranya adalah dengan memadankan seluar bermuda atau seluar khaki bersama baju T polos dan kemeja lengan pendek berpetak-petak. Jika ingin penampilan yang santai dan lebih ringkas, seluar bermuda dan baju T cetakan jalur sudah memadai.

Dalam pada itu, koleksi Totally Vintage yang menggunakan fabrik yang menyerap peluh turut hadir dengan seleksi jaket lengan panjang dan jaket berlengan pendek yang memiliki hud. Ia bertindak melindungi kepala daripada hujan ataupun sinaran matahari.


HIMPUNAN terbaharu jenama Jeep ini sesuai digayakan oleh golongan bapa yang gemarkan aktiviti lasak dan kembara.


Sementara itu, Totally Vintage juga menyediakan pakaian kanak-kanak berasaskan kain kapas yang lembut dan ringan. Penggunaan kain kapas merupakan pilihan yang tepat untuk menyerap peluh dan memberi keselesaan berpanjangan.

Bersesuaian dengan jiwa kanak-kanak yang aktif dan gemar bergerak bebas, maka Jeep menawarkan baju T, kemeja, jaket berhud dan seluar kargo pendek untuk kanak-kanak lelaki manakala blaus dan seluar panjang potongan ringkas buat kanak-kanak perempuan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: