Tuesday, June 26, 2012

Bawa muzik untuk anak luar bandar

SEBAHAGIAN kakitangan Amway menunjukkan bakat bermain gendang semasa pelancaran program Hands Percussion Balik Kampung with Amway baru-baru ini.


MUZIK dan kanak-kanak sememangnya sukar dipisahkan. Selain menjadi aktiviti yang menghiburkan, muzik juga berperanan mengembangkan kemahiran bahasa dan meningkatkan mobiliti si kecil.

Kajian saintifik menunjukkan bahawa kanak-kanak yang didedahkan dengan muzik sejak dari kecil berupaya memupuk keyakinan diri, menghakis perasaan malu dan menjana kecerdasan minda.

Kanak-kanak yang menetap di bandar-bandar besar mungkin bertuah kerana terdapat banyak kelas muzik formal yang mengetengahkan program pembelajaran dan bimbingan yang sistematik, namun bagaimana pula nasib mereka yang menetap di luar bandar?

Menyedari hakikat itu, syarikat jualan langsung, Amway (M) Sdn. Bhd. (Amway), baru-baru ini melancarkan program Hands Percussion Balik Kampung with Amway bertujuan mengembang dan menyerlahkan potensi kanak-kanak dalam bidang vokal atau permainan alat muzik khususnya di luar bandar.

Pengurus Besar Amway, Paul Yee berkata, program yang diadakan dengan kerjasama kumpulan muzik profesional, Hands Percussion itu dilaksanakan di 15 buah sekolah membabitkan lima buah negeri di seluruh negara.

Jalinan dengan Hands Percussion

Katanya, melalui aktiviti yang dijalankan ahli-ahli Hands Percussion, pengedar dan kakitangan Amway akan berganding secara sukarela untuk memberi peluang kepada kanak-kanak mengenali serta menghayati muzik dengan lebih dekat di samping mencipta peralatan muzik daripada bahan-bahan terbuang.

"Peserta-peserta berpeluang mendapatkan pendidikan muzik secara percuma melalui pembelajaran dan bimbingan yang sistematik.

"Mereka yang berbakat dan berpotensi besar akan diketengahkan dalam satu pertandingan yang bakal diadakan di Kuala Lumpur kelak," katanya pada majlis pelancaran program itu baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengasas Bersama dan Pengarah Pentadbiran Hands Percussion Sdn. Bhd., Eric Ch'ng.

Tambah Paul, pihaknya turut menyumbang sebanyak RM270,000 bagi menjayakan program itu sebagai tanggungjawab sosial syarikat kepada masyarakat.

"Amway percaya bahawa ia satu usaha berbaloi dan berharap penajaan ini akan memastikan kelangsungannya pada masa hadapan," katanya.

Jelasnya, ia merupakan program ketiga yang dianjurkan sejak kempen One By One dimulakan sejak tahun 2003.

"Sebelum ini, kami telah melaksanakan dua program iaitu Minda Sihat Ceria dan Wad Sihat Ceria membabitkan pembentukan jati diri kanak-kanak di samping penambahbaikan di wad pediatrik di beberapa hospital kerajaan di negara ini," ujarnya.

Sementara itu, Eric Ch'ng berkata, ini merupakan kali pertama kumpulannya bekerjasama dengan sebuah syarikat korporat untuk membiayai program yang dimulakan sejak 2009.

"Sejak tiga tahun lalu, kami telah membiayai projek ini secara bersendirian meliputi 10 lokasi.

"Tahun ini, kami gembira kerana sebuah organisasi seperti Amway begitu komited untuk membantu kami meneruskan program ini bagi mendekatkan muzik kepada kanak-kanak yang tidak berpeluang menikmatinya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: