Sunday, April 29, 2012

Sarang persembunyian

pix_middle

BAGI sesetengah lelaki, sebuah pondok ringkas sudah cukup dijadikan tempat untuk bersendirian, mencari ketenteraman dan menjauhkan diri daripada kesibukan hidup sebenar. Namun, bagi Keith Brown, binaan sebegitu ‘biasa’ tidak memadai.

Lelaki berusia 63 tahun itu menghabiskan masa 20 tahun untuk membina tempat santai eksotik di taman belakang rumahnya di Surrey, lengkap dengan air terjun, bar, tempat berehat dan dewan untuk menari.

  • Foto

    LENGKAP... laluan menuju ke tempat santai yang dibina Brown di taman belakang rumahnya.

  • Foto

    BROWN... mengambil masa 20 tahun untuk membina tempat doa mencari ketenteraman.

  • Foto

    KREATIF... burung kakak tua dan meriam yang dibuat sendiri Brown antara yang menghiasi tempat santai Brown.

  • Foto

    TEMPAT SANTAI...empat tingkat bertemakan lanun mempunyai air terjun dan buaya.

‘Tempat santai’ empat tingkat bertemakan lanun itu juga dilengkapi dengan meriam yang masih boleh digunakan, jambatan tarik menggunakan kuasa elektrik dan bar pelantar tinjau yang boleh dijejaki dengan menggunakan tangga tapak.

Brown, pesara pengurus runcit di WH Smith, membina tempat santai itu di rumah lima biliknya di Selsdon sebagai tempat untuk dia menghabiskan masa dengan aman dan tenteram serta jauh dari rumah yang penuh dengan wanita - isteri, Carol, dan anak perempuan, Claire, 28, dan Tash, 26.


Dia mula membinanya dengan menggunakan bahan yang dibuang pekerja binaan atau didermakan oleh jiran dan menghiasinya dengan barangan yang dibeli di Hawaii atau ketika bercuti di Caribbean.


Kini, 20 tahun kemudian, pondok itu siap sepenuhnya, dengan parit dan sepasang meriam yang dibuatnya sendiri dan boleh digunakan.

Keith berkata: “Apabila anda mempunyai isteri dan dua anak perempuan, ia pasti menarik. Namun, keadaan pasti bingit dengan kehadiran mereka. Jika terlalu banyak bertelagah, saya hanya perlu menurunkan jambatan itu dan pergi ke pondok ‘Caribbean’ untuk mendengar muzik dan menenangkan fikiran.

“Ada rakan kami yang datang untuk menganjurkan parti ‘malam lanun’. Kami minum dan makan. Semua yang hadir pasti gembira.”

Pondok itu mempunyai tingkap lut sinar berganda, menjadikan ia tempat paling sesuai bagi meraikan tetamu tanpa perlu mengadakannya di rumah utama.

Tempat mencari ketenangan milik Brown itu ditebat sepenuhnya dan kalis lembap. Ada juga jambatan merentasi air terjun di dalam yang menghala ke kawasan rehat.

Pengunjung kemudian boleh beralih ke tempat menari yang lengkap dengan lampu laser, generator pengeluar asap dan sistem bunyi terbina dalam.

Ketika anaknya masih remaja, mereka kerap mengadakan parti.

Isterinya, Carol berkata: “Saya sudah biasa dengannya. Ia kini menjadi sebahagian daripada kami. Ia sungguh hebat dan apabila anda di situ, jangan anggap anda berada di taman belakang. Anda boleh merasakan diri anda berada di mana-mana.

“Ia sudah pasti menjadi tempat menarik pada sebelah malam, dengan suasana dan lampu yang mententeramkan jiwa.

“Saya kagum dengan semangat dan dedikasi Keith (Brown). Tempat itu diubah suai beberapa kali dan akhirnya siap.”

Brown berkata: “Tempat santai itu mencetuskan suasana keseronokan yang sungguh menakjubkan. Semua orang sepatutnya mempunyai ruang peribadi seperti ini, tidak kira sama ada anda lelaki atau wanita.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: