Monday, April 30, 2012

Pelajar UKM hasil ubat darah tinggi ibu mengandung

Zainul Rashid Mohamad Razi (tengah) bersama para pelajar yang menghasilkan Dydrogesterone di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 27 April - Sekumpulan pelajar perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menghasilkan Dydrogesterone iaitu pil yang boleh menghalang atau mengurangkan kadar darah tinggi bagi ibu-ibu mengandung.

Penemuan tersebut merupakan yang pertama di dunia dan telah diterima untuk diterbitkan di jurnal antarabangsa.

Seorang daripada pelajar tersebut, Noorfaizahtul Hanim Md. Nawawi, 23, berkata, kajian ke atas 116 ibu yang mengandung buat pertama kali melalui kaedah tabung uji mengalami peratusan kadar darah tinggi lebih rendah berbanding kumpulan ibu yang mengandung secara biasa.

Dengan penemuan ini ujarnya, kematian akibat darah tinggi semasa mengandung dapat dikurangkan khususnya untuk ibu-ibu yang mengandung untuk pertama kalinya melalui pengambilan ubat ini di bahagian awal kandungan mereka.

"Ubat ini boleh membekalkan oksigen yang cukup kepada bayi untuk mengelakkannya lemas semasa bersalin seterusnya melancarkan kelahiran," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan dan Kesuburan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan UKM, Prof. Dr. Zainul Rashid Mohamad Razi berkata, penyakit darah tinggi masih merupakan antara penyebab utama kematian ibu-ibu mengandung di seluruh dunia.

Menurutnya, situasi tersebut lebih mempengaruhi ibu-ibu yang mengandung anak pertama iaitu dengan kadar 10 hingga 15 peratus.

"Setakat ini, cara untuk mengatasi masalah tersebut adalah dengan mengawal darah tinggi setelah ia terjadi sementara menunggu bayi lebih matang," jelasnya.

Katanya lagi, ibu menghidap darah tinggi semasa mengandung berpotensi untuk mengalami komplikasi seperti sawan, pendarahan akibat lekang uri dan kelahiran tidak cukup bulan yang memungkinkan kematian kepada kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: