Monday, April 30, 2012

Model kit berskala Blackheart

ABDULLAH bersama sebahagian daripada model kit ketenteraan miliknya.

MELIHAT kepada binaan model kit berskala kapal terbang pejuang Shidenkai, pasti menimbulkan rasa kagum dengan setiap perincian di atas badan jentera dari Jepun itu.

Pesawat era Perang Dunia Kedua itu dibuat dengan penuh teliti seakan-akan dikecilkan daripada pesawat sebenar lengkap dengan keadaan cat yang terhakis serta dinding sayapnya yang terkopak seperti benar-benar telah melalui zaman perang.

Pada yang tidak tahu, mungkin menyangka model pesawat tersebut dikeluarkan sebegitu rupa daripada kilang, melihat kepada keadaannya yang begitu terperinci dengan kesan kerosakan serta sebagainya.

Hakikatnya, bermula proses mencantumkan bahagian pesawat yang diperbuat daripada plastik, mengecat, hingga perincian seperti hakisan, dibuat sendiri dengan rapi oleh peminat model kit berskala kira-kira sebulan lamanya iaitu Abdullah Hamzah yang dikenali dengan nama gelaran Blackheart.

"Membina model kit berskala ini boleh dikatakan umpama satu kerja seni. Kita akan leka memberi sentuhan yang diingini mengikut kreativiti masing-masing dan kepuasannya tiba apabila ia siap dan ramai yang menghargai kerja kita.

"Proses membinanya memerlukan seseorang itu banyak bereksperimen serta membuat rujukan dan ia sungguh mencabar kerana tak selalunya binaan kita menjadi seperti yang dikehendaki," ujarnya yang setia dengan minatnya lebih 30 tahun lalu dan telah berhabisan sehingga beribu-ribu ringgit.

Koleksi model kit berskala milik Abdullah lebih kepada kenderaan tentera seperti kereta kebal, pesawat pejuang, kapal tentera laut, helikopter dan trak serta figura tentera.

Contoh model kit miliknya adalah Trumpeter, Hasegawa, Tamiya, Dragon, Italeri, Airfix serta jenama lain dan skala yang biasa dijual daripada 1/350, 1/144, 1/72, 1/48, 1/35, 1/32 dan sebagainya.

Dia yang kini dalam proses menyiapkan model kit kapal perang Jepun, Musashi berskala 1/250, memberitahu kadang-kala dia membeli sehingga lima kotak model kit kerana minat yang mendalam tetapi akhirnya hanya menyiapkan satu saja atas kekangan masa. Akibatnya banyak model kit yang masih berbungkus disimpan di dalam stor.

Hobinya ini bermula sejak alam persekolahan apabila dia membeli model kit yang kecil sebagai permulaan dan sejak itu dia seakan-akan ketagih dengan aktiviti tersebut yang menemukannya dengan ramai pemilik hobi yang sama.

Boleh dikatakan hampir setiap Sabtu, dia dan rakan-rakan akan berkumpul di Hobby HQ di Fraser BIZ Park dan menghabiskan masa dengan membina model kit bersama-sama serta berkongsi pengetahuan teknik-tekniknya.

"Setiap tiga bulan, kami akan mengadakan pertandingan model kit antara kami membuatkan kami lebih teruja menghasilkan sesuatu yang menarik," ujarnya yang paling menggemari koleksi helikopter Perancis, Super Frelon yang berskala 1:35.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: