Monday, April 30, 2012

Memburu sate Kajang di Kepong

EFFENDY sendiri turut turun padang membakar sate buat para pelanggan.

KEKUATAN hidangan sate sering dikatakan berada pada kuahnya kerana rasa daging sate yang diperap ramuan khas hanya lengkap apabila digabungkan dengan kuah kacang.

Namun, sungguh berbeza ketika penulis menikmati hidangan sate Kajang di sebuah restoran yang terletak di Kepong. Rasa rempah pada daging sate tersebut cukup kuat untuk berdiri sendiri tanpa perlu dicicah dengan kuahnya.

Seperti sate di tempat lain, rasa sate di Restoran Klasik Satay Station ada rasa ramuan wajib seperti serai, lengkuas, bawang, asam jawa dan pelbagai rempah-ratus lain cuma seakan ada satu ramuan rahsia yang membangkitkan lagi rasa daging yang diperap itu.

Minyak yang dilumur pada daging sate ketika proses membakarnya juga dilihat tidak menggunakan minyak masak biasa seperti kebanyakan peniaga sate lain kerana seperti ada campuran bahan lain yang membuatkan ia kurang berminyak.

Keistimewaannya juga terletak pada dagingnya yang kurang lemak terutama daging lembu yang lembut dan sebati dengan rempah yang diperap.

Akui pemilik restoran, Mohammed Effendy Muhamad @ Abd. Rahim, ada ramuan rahsia di dalam satenya yang membuatkan rempahnya lebih terasa tetapi tidak dapat dikongsikan kepada umum.

"Resipi sate Kajang yang saya gunakan merupakan warisan turun-temurun keluarga saya. Memang ada ramuan rahsia tetapi secara asasnya ramuannya sama saja dengan sate Kajang lain.

"Kami turut menggunakan daging premium yang berkualiti tinggi dan segar untuk memastikan pelanggan menikmati keenakan sate daging terbaik dari segi kualiti, tekstur dan rasanya," ujarnya yang turut mendakwa resipinya berasal dari pengasas sate Kajang, iaitu Haji Tasnim Sakiban yang terkenal semenjak 1911.

Beralih pada kuah kacangnya, bagi yang tidak biasa menikmati sate Kajang, ia dihidang bersama kuah kacang serta cili secara berasingan dan dicampurkan mengikut rasa pedas yang diingini.

Bagusnya restoran yang hanya menyediakan sate lembu, kambing dan ayam itu, rasa kuah kacangnya tidak tenggelam dek rasa pedas walaupun telah ditambah dengan cili.

Selain hidangan sate, Restoran Klasik Satay Station turut menyediakan beberapa menu lain iaitu laksa, soto dan mi jawa selain yong tau fu, sotong kangkung dan tahu bakar.

"Konsep kami memberi penekanan kepada menu khas iaitu sate dan hidangan lain cuma sebagai sampingan kepada pelanggan," ujarnya yang sebelum ini pernah berniaga sate di Restoran O'din yang terletak di Taman Ehsan, Kepong.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: