Saturday, April 28, 2012

Idea dua pereka

INSPIRASI...rekaan menawan mengambil gaya Audrey Hepburn.
INSPIRASI...rekaan menawan mengambil gaya Audrey Hepburn.

TERNYATA walaupun hampir 19 tahun primadona terkenal dunia Audrey Hepburn meninggal dunia (pada usia 63 tahun), namun watak serta fesyen digayakannya masih menjadi inspirasi serta bualan ramai. Bintang Hollywood, penari balerina, peragawati serta penggiat kemanusiaan yang dilahirkan pada 4 Mei 1929 itu masih menjadi ikon sama ada dalam bidang lakonan mahupun fesyen digayakan.

Dalam filem Breakfast & Tiffany’s, Hepburn mengenakan potongan klasik pada gaun yang memaparkan kesempurnaan tubuhnya. Gaun hitam labuh masih diingati dan menarik perhatian jutaan penggemar fesyen.

  • Foto

    KLASIK...perhiasan kepala menambah gaya klasik Suri & Lana.

  • Foto

    EKSKLUSIF...potongan klasik pada gaun renda nyata mempamerkan keindahan tersendiri.

  • Foto

    UNIK...fabrik bercorak pada helaian blaus menambah gaya anggun si pemakai.

  • Foto

    MENYERLAH...gaun berpotongan tanpa lengan ringkas dan menawan.

  • Foto

    MENAWAN...potongan ala 60-an pada jaket dan seluar pendek memberikan gaya tersendiri.

  • Foto

    KASUAL...gaya kasual padanan blaus dan seluar sesuai untuk ke pejabat atau majlis rasmi.

Nyata potongan sederhana dengan perhiasan mutiara begitu menakjubkan dan menjadi inspirasi bukan saja wanita pada zaman dulu, malah sampai sekarang ia masih menjadi ikon fesyen semasa.

Mengambil inspirasi daripada karakter ikonik Holly Golightly dalam filem Breakfast & Tiffany’s yang dilakonkan bintang ternama ini nyata memberi interpretasi kreatif pada himpunan pertama Suri & Lana yang dipersembahkan barisan model pada majlis minum petang di Galeri Starhill, baru-baru ini.


Pertunjukan fesyen diberi jolokan Breakfast & Tiffany’s bersama koleksi jam tangan eksklusif feminin Bedat & Co ini nyata mencuri tumpuan penonton menerusi setiap helaian busana yang dipamerkan.


Sambil diiringi alunan muzik jazz, setiap mata terpaku pada padanan pakaian yang tersarung pada tubuh model tinggi lampai. Tarikannya bukan sekadar pada warna tetapi lebih kepada fabrik yang digunakan.

Mengenang kembali era 60-an setiap padanan diberi potongan dan cita rasa berbeza menerusi penggayaan blaus yang dipadankan dengan seluar dan skirt.
Menampilkan tubuh langsing si pemakai, setiap pakaian sesuai digayakan ke mana saja sama ada kasual atau rasmi.

Begitu juga potongan gaun pendek menggunakan rona menawan memberi inspirasi bukan saja pada wanita tetapi setiap mata yang memandang.

Setiap koleksi menawarkan blaus ringkas untuk gaya harian sehingga helaian lebih glamor dengan sentuhan kemasan reben, renda dan labuci yang memberikan keunikan tersendiri.

Konsepnya sederhana dan tidak keterlaluan, namun perincian digunakan memberi keselesaan kepada wanita dalam penggayaan.

Rekaan anggun pastinya kurang menyerlah tanpa menggunakan pilihan fabrik berkualiti seperti satin sutera, sutera Thai dan kapas bercorak yang memiliki tona warna pekat dan lembut seperti hijau, biru, coklat dan ungu.

Pemilihan rona segar nyata memberikan nilai eksklusif dan ciri kemewahan tersendiri.

Nyata perkongsian idea dua pereka, Nurul Afidah Zulkifli dan Esmila Saruji yang mengetengahkan label Suri & Lana memberi impak baru dalam seni rekaan fesyen.

Pemilihan jenama Suri & Lana itu sendiri melambangkan konsep utama rekaan khusus untuk wanita yang mementingkan fesyen dan tatarias diri.

Berhasrat menjadi jenama yang menawarkan rekaan terkini dalam lingkungan harga berpatutan, sekali gus pilihan di pentas peragaan dunia, Suri & Lana berhasrat mampu memberi idea menerusi penghasilan fesyen untuk pelanggan.

Bagi Nurul Afidah dan Esmila, mereka yakin jenama ini mampu menjadi pilihan wanita Malaysia yang kini lebih berani dalam penggayaan.

Suri & Lana boleh didapati di butik Mimpikita Jalan Telawi 2, Bangsar atau Butik Prive di Dormani Square Kuching, Sarawak. Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang www.surilana.com.my atau portal membeli-belah FashionValet.net.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: