Monday, April 30, 2012

Dua pusat latihan TLDM cipta sejarah

Abdul Aziz Jaafar (kanan) menganugerahkan Laskar Terbaik TLDM kepada LK1 PLM Khairul Amin Ahmad Fadzil dari Markas Wilayah Laut Satu pada Ssambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-78 di Pangkalan TLDM Lumut, semalam.

LUMUT 27 April - Dua pusat latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Pelandok (KDP) dan KD Sultan Idris 1 (KDSI 1) hari ini mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai Institut Latihan Maritim (ILM) oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM).

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, pengiktirafan kedua-dua pusat tersebut yang merupakan Pusat Latihan Anggota Lain-Lain Pangkat TLDM dan Pusat Latihan Pegawai TLDM akan berkuat kuasa selama lima tahun.

Menurut beliau, pengiktirafan itu merupakan satu sejarah kepada TLDM terutamanya dalam usaha mencapai wawasan menjadi tentera laut bertaraf dunia.

Sebagai permulaan katanya, TLDM akan melaksanakan dua daripada sembilan Modul Asas Latihan, Perakuan dan Pengawasan Bagi Pelaut 1995 (STCW 95) dan bilangan modul akan ditambah dari semasa ke semasa.

''Pensijilan STCW 95 merupakan usaha murni TLDM untuk mempertingkatkan kecekapan anggota TLDM supaya mereka mampu menyumbang sebagai tenaga mahir khususnya dalam sektor industri maritim setelah bersara atau menamatkan perkhidmatan nanti.

''Sepanjang tahun lalu, kita melaksanakan lapan siri kursus STCW 95 yang melibatkan modul asas iaitu Kursus Asas Keselamatan (BST) dan Kursus Penyelenggaraan tangki minyak (TFA) dengan mengguna khidmat jurulatih sebuah pusat ILM swasta.

''Setakat ini, seramai 240 Anggota Lain-Lain Pangkat TLDM telah memperoleh manfaat daripada usaha itu dan kebanyakan mereka akan menamatkan perkhidmatan pada tahun depan dan 2014," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Daftar Pegawai dan Pesara TLDM dan Penyerahan Sijil Institut Latihan Maritim (ILM) Sempena Hari Ulang Tahun TLDM Ke-78 di Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Sijil ILM diserahkan Ketua Pengarah JLM, Datuk Ahmad Othman dengan disaksikan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Ahli Parlimen Lumut.

Tambah Abdul Aziz, sijil BST dan TFA melayakkan mana-mana anggota yang memperolehnya untuk memohon pekerjaan dalam industri maritim terutama sektor perkapalan, carigali dan gas.

Terdahulu beliau memeriksa perbarisan empat panji-panji terdiri daripada 88 pegawai dan 569 anggota lain-lain pangkat KD Pelandok, KD Malaya, KD Panglima Hitam dan KD Rajawali.

Perbarisan tersebut diketuai oleh Komander Rosli Mokhti dari Markas Bantuan dengan dibantu Leftenan Komander Karim Mohd. Faizal Mahmood dari KD Panglima Hitam dan Leftenan Ahmad Zaini Abdul Ghani.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: