Khemah sudah siap dipasang tetapi majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung Sabtu lalu
Khemah sudah siap dipasang tetapi majlis perkahwinan yang sepatutnya
berlangsung Sabtu lalu terpaksa dibatalkan. Gambar kecil: Ramli

ALOR GAJAH - Pihak polis kini giat mencari seorang lelaki yang melarikan kereta tunangnya, dua hari sebelum majlis pernikahan mereka berlangsung.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, berkata, lelaki terbabit, Ramli Kamaruddin, 30, dan beralamat di Jalan Tun Perak, Bachang, melarikan diri bersama kereta milik tunangnya itu, dua hari sebelum pernikahan.
Menurutnya, mangsa mengenali tunangnya setahun lalu dan mengikat tali pertunangan pada Januari lalu.
“Lelaki terbabit turut meminjam sejumlah barang kemas milik bakal isterinya itu, kononnya mahu dijadikan contoh membeli barang kemas lain sebagai hantaran perkahwinan.
“Selain itu, dia turut mengambil sebuah telefon bimbit dan komputer riba milik tunangnya,” katanya.
Umar Ali Saifuddin berkata, dalam kejadian berkenaan, kira-kira jam 2 petang Khamis lalu, mangsa yang berada di rumahnya ketika itu didatangi tunangnya yang mahu meminjam kereta dan berjanji memulangkannya keesokan pagi.
“Lelaki terbabit bagaimanapun tidak mengotakan janjinya menyebabkan mangsa cuba menghubunginya tetapi gagal.
“Mangsa yang merasakan dirinya ditipu membuat laporan polis dan mengambil keputusan membatalkan majlis perkahwinannya yang sepatutnya berlangsung kelmarin (Sabtu),” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh bertunang, lelaki terbabit turut menjalin hubungan dengan wanita lain menggunakan nama ‘Shah’ dan mendakwa bekerja sebagai anggota keselamatan.
“Siasatan awal polis mendapati, lelaki ini dikehendaki polis berhubung laporan polis yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada 2004.
“Malah, dia juga memiliki rekod jenayah lampau atas kesalahan penipuan pada 2009,” katanya.