Thursday, March 29, 2012

Saluran artis selesai isu perundangan

NEELOFA dan Ana Raffali mendengar penerangan diberikan Khairul Anwar di Wangsa Maju, semalam.
NEELOFA dan Ana Raffali mendengar penerangan diberikan Khairul Anwar di Wangsa Maju, semalam.
KESEDARAN untuk melindungi hak penggiat seni mendorong dua artis terkenal menjalinkan kerjasama bersama Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SUKAGUAM) bagi membolehkan selebriti yang berdepan dengan masalah seperti fitnah, saman, hak cipta dan royalti mendapatkan khidmat nasihat serta rundingan guaman secara percuma.

Sebagai permulaan, pelakon yang juga pengacara Nona, Neelofa, dan penyanyi, Ana Rafali, dilantik sebagai 'duta kecil' sebagai penghubung antara artis dan SUKAGUAM.Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan di antara Pengerusi SUKAGUAM, Datuk Khairul Anwar Rahmat, dan kedua-dua artis terbabit di Wangsa Maju, di sini, semalam.
Kedua-dua artis muda ini menyifatkan langkah berkenaan cukup tepat kerana golongan terbabit mudah terdedah dengan pelbagai masalah dan ancaman terutama di laman sosial seperti Facebook dan blog.

Bercakap kepada pemberita, Neelofa berkata, kesedaran untuk mengunjungi SUKAGUAM timbul sejak menyertai bidang seni kerana mereka sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko.

Pelakon filem Azura (2012) itu berkata, sudah sampai masanya artis diberi pendedahan mengenai hak dan peraturan bagi membolehkan mereka bergiat tanpa dibebani dengan kemungkinan sekiranya tindakan dilakukan melanggar undang-undang.

"Saya berharap, kerjasama ini turut mendapat perhatian rakan artis lain supaya kebajikan dan keselamatan semua pihak terjamin, selain memberi gambaran mengenai garis panduan lebih jelas dalam industri ini," katanya.
Ana pula berkata, dia mahu golongan artis sedar, mereka mempunyai saluran terbaik untuk menyelesaikan masalah berkaitan perundangan.

"Jika dulu, kebanyakan artis tidak mengetahui ke mana hala tuju mereka jika disaman atau difitnah, tetapi kini kita mempunyai saluran yang menawarkan khidmat nasihat secara percuma," katanya.

Sementara itu, Khairul Anwar berkata, kerjasama itu dijalin bagi menjelaskan kepada selebriti bahawa mereka mempunyai saluran untuk menyelesaikan sesuatu isu yang timbul berlandaskan hak dan langkah sewajarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: