Thursday, March 29, 2012

'Hantu Bukit Cina' Dua Tahun Tertangguh

TS Jeffrey

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Hantu Bukit Cina (HBC), TS Jeffrey berkata kesibukannya dan para pelakon dengan pelbagai komitmen seni lain menjadi faktor kepada penangguhan tayangan filem itu selama dua tahun.

TS Jeffrey yang juga pelakon pada era 1990-an, memberitahu filem seram tersebut tertangguh sepanjang tempoh berkenaan kerana penerbitnya Award Makers Sdn Bhd tidak dapat menyiapkan proses memasukkan suara (dubbing).

"Filem ini dirakam secara terus (direct sound), jadi apabila selesai proses suntingan kami dapati terdapat beberapa gangguan bunyi pada beberapa babak. Kami terpaksa memasukkan suara (dubbing) sebagai ganti bagi babak-babak yang kurang berkualiti itu.

"Proses itu mula menjadi tertangguh dari masa ke semasa kerana pertindanan jadual pelakon yang terlibat dengan komitmen lain pula. Sebab itu kami terpaksa simpan filem ini sehingga dua tahun selepas ia siap," katanya yang julung kali mengarahkan filem.

TS Jeffrey turut bergandingan dengan Norliza Ismail selaku pengarah bersama filem tersebut.

Gambit

Dia ditemui pada pengumuman tamat produksi dan ramah mesra pelakon dan produksi filem itu di Bukit Bintang, di sini, Rabu.

Berkongsi perasaannya mengenai filem itu, TS Jeffrey berkata selepas dua tahun menanti dia berpuas hati dan gembira kerana HBC akhirnya berjaya disiapkan juga dan hanya menunggu slot tayangan kelak.

"Saya tak nafikan pasti ada banyak kekurangan kerana ia filem pertama saya dan syarikat produksi ini. Apa yang penting ia boleh diterima, logik dan menghiburkan.

"Filem ini sudah lengkap dan akan dihantar ke Thailand untuk pemindahan kepada format reel filem sahaja.

"Dalam minggu ini, kami akan adakan pratonton bersama Skim Wajib Tayang untuk mendapatkan slot tayangan, sebolehnya dalam tahun ini juga," katanya yang berdepan kekangan bajet dalam menghasilkan filem itu.

Filem yang berkisar mengenai lima sahabat yang berjaya membongkar misteri sebuah kawasan ini dibintangi Fouziah Gous dan Siti Fazurina Famir, Gambit Saifullah, Kamarool Hj Yusof dan ramai lagi.

Ia menjalani penggambaran pada 2010 selama 20 hari dengan kos penerbitan sebanyak RM500,00.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: