Thursday, March 29, 2012

Girls' Generation tawan Kuala Lumpur


PERSEMBAHAN memukau daripada Girls' Generation di KLCC jumaat lalu.


HUJUNG minggu lalu pada 23 Mac, buat pertama kalinya kumpulan wanita popular Korea Selatan, Girls' Generation yang dianggotai oleh sembilan orang gadis jelita iaitu Taeyeon, Jessica, Sunny, Tiffany, Hyoyeon, Yuri, Sooyoung, Yoona dan Seohyun menjejakkan kaki di Malaysia apabila diundang mengadakan persembahan pada konsert Twin Towers@Live 2012 yang berlangsung di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Kedatangan mereka itu sememangnya dinanti-nantikan oleh ribuan peminat mereka yang membanjiri perkarangan KLCC.

Sebaik sahaja Girls' Generation naik ke pentas peminat lelaki terutamanya mula menggila, sehingga ada yang menjerit nama mereka dan ada juga yang tidak mempedulikan orang sekeliling dengan terus menderu ke hadapan pentas demi mendapatkan posisi terbaik ketika kumpulan gadis cantik itu membuat persembahan.

Memakai pakaian serba putih dengan 'uniform' rasmi mereka iaitu seluar pendek, Girls' Generation yang datang ke Kuala Lumpur tanpa seorang anggotanya iaitu Yuri telah mendendangkan enam buah lagu popular mereka termasuk The Boys, Hoot, Run Devil Run dan juga Gee sebagai lagu penutup.

Sekali-sekala mereka berkomunikasi dengan penonton dalam bahasa Korea yang kemudian diterjemahkan oleh anggota mereka yang fasih berbahasa Inggeris iaitu Jessica.

"Terima kasih Malaysia. Akhirnya kami berada di Malaysia, kami sangat teruja dan berjanji akan kembali lagi ke Malaysia." ucap Sooyoung.

Konsert yang berlangsung secara percuma selama dua hari itu sempena perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Ahad lepas itu turut menampilkan penyanyi Nicole Scherzinger serta persembahan tarian daripada juara program realiti tarian Showdown 2011, Elecoldxhot.

Turut serta ialah artis-artis tempatan seperti DJ Prem, James Baum, Reshmonu dan DJ Nadine.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: