Thursday, March 29, 2012

Ferhad Tidak Cari Publisiti Murah Melalui Mentor

Ferhad

PETALING JAYA: Penyanyi Ferhad menolak tuduhan pembabitannya dalam program Mentor terbitan TV3 sebagai batu loncatan untuk melonjakkan semula namanya semakin suram sejak kebelakangan ini.

Ferhad berkata, dia sebenarnya ingin berkongsi pengalaman sebagai seorang penyanyi dalam program tersebut selain dapat mengajar protegenya, Tisha menjadi penyanyi berjaya selepas keluar daripada Mentor 6.

"Penyertaan saya sebagai mentor dalam program tersebut bukan kerana kepentingan diri atau mengambil kesempatan untuk menaikkan nama saya.

"Tetapi andai kata penyertaan ini memberi impak positif kepada saya, saya bersyukur. Yang penting saya ingin berkongsi pengalaman saya kepada protege apa yang susah dan senang menjadi seorang penyanyi," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Ferhad bersama bekas protegenya, Wanie.

Tambah Ferhad lagi, luahan rasa tidak puas hati bekas protegenya iaitu Wanie selepas dikeluarkan pada minggu lalu juga bukan disengajakan atau satu taktik untuk meraih publisiti.

Sebaliknya, Wanie yang mempunyai masalah kesihatan itu perlu mendapatkan rawatan yang secukupnya dan dia enggan mengambil sebarang risiko jika berlaku apa-apa kepada wanita berkenaan.

"Saya faham kenapa Wanie meluahkan perasaannya itu. Tapi dia perlu ingat penyingkiran dia adalah untuk kebaikannya juga.

"Memang benar sebelum ini kami tahu yang dia ada sedikit masalah kesihatan, tetapi apabila melihatnya pengsan sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu, itu adalah perkara serius kerana pertandingan ini memerlukan dia berlatih lebih kurang 10 jam sehari," jelasnya.

Beritahu Ferhad lagi, Wanie tidak perlu risau tidak berpeluang menyertai Mentor 6, kerana dengan usia yang masih muda serta memiliki bakat suara yang unik, dia mampu pergi jauh di bidang nyanyian.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan baru Firhad yang popular dengan lagu Kasih Berubah berkata bakal muncul dengan sebuah album baru tidak lama lagi.

"Insya-Allah, album baru saya akan dilancarkan selepas Aidilfitri nanti. Setakat ini sebanyak tiga buah lagu sudah pun dihasilkan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: