Wednesday, February 29, 2012

Protege Ella harus unik


SEORANG calon sedang mencuba nasib dan meniru gaya yang dikehendaki Ella.


DIA khabarnya memiliki sikap mudah kasihan dan manja. Namun ratu rock, Ella membuktikan di sebalik sikapnya itu dia juga seorang yang tegas.

Ella mengakui dirinya begitu selektif memilih protegenya. Malah, terpaksa melalui masa pemilihan protegenya sehingga pukul 1 pagi untuk mencari seorang peserta yang mempunyai pesona dan keunikan selain mampu menghayati dan mempersembahkan semua jenis lagu dengan baik.

"Peserta-peserta yang datang memang boleh menyanyi tetapi tonasi suara mereka kebanyakannya serupa dengan penyanyi yang sedia ada. Saya memerlukan peserta yang mempunyai pesona. Apa yang paling penting dia mesti mempunyai keunikan. Calon itu juga perlu tegas dalam menentukan muzik yang hendak diperjuangkan apabila bergelar penyanyi profesional kelak," ujarnya ketika ditemui pada sesi uji bakat program Mentor yang berlangsung di Sri Pentas, TV3, Petaling Jaya, Selangor.

Ditebak soalan sama ada dia memilih calon yang mampu menyanyikan lagu rock dengan baik seperti dirinya sebagai protege, tutur pemilik nama sebenar Norzila Aminuddin, 45, ini, calon protege pilihannya tidak semestinya berpenampilan rock dan ranggi. Katanya, dia perlu mengetahui hala tuju dan konsep muzik yang akan diperjuangkan apabila bergelar penyanyi profesional kelak.

Ella juga memberitahu, dia tidak menetapkan kriteria tertentu untuk calon protegenya.

Malah, pengalamannya dalam industri muzik selama 30 tahun membantu dirinya memilih protege yang bagus selain mampu membimbing protegenya dari segi penampilan, hala tuju dan konsep muzik yang akan diperjuangkan kelak.


BAGI Ella yang telah 30 tahun menjadi anak seni, setiap bakat baharu harus mempunyai sifat profesional yang tinggi.


"Kalau protege itu ada rupa, ia dikira bonus dan bagus untuk perkembangan kariernya," ujarnya lagi.

Ditanya mengenai teknik bimbingannya terhadap protege itu kelak, ungkap Ella yang tidak memilih jantina calon protege miliknya nanti, dia akan menggunakan pendekatan tersendiri apabila sesi pembelajaran mereka bermula.

"Saya pun tidak tahu apa teknik yang akan digunakan tetapi ia adalah cara saya sendiri. Harap dia faham, dengar dan tahu apa yang diajar nanti.

"Insya-Allah, saya yakin protege itu akan dapat menyesuaikan dan memahami bimbingan dan tunjuk ajar saya," katanya yang turut menyediakan pasukan untuk mengubah imej protege miliknya itu.

Selain Ella, antara selebriti lain yang menggalas tanggungjawab sebagai mentor untuk musim ini adalah Faizal Tahir, Ferhad, Ogy Ahmad Daud, Ramlah Ram dan Adam (AF).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: