Sunday, February 26, 2012

Manisnya kenduri, pahitnya kendara


Mastar Muni sentiasa memastikan mutu perkhidmatan dan layanan kepada pelanggan pada tahap terbaik.


BUKAN mudah memikul tanggung jawab sebagai penyedia makanan untuk satu-satu majlis kenduri, terutamanya majlis perkahwinan yang jemputannya mencecah ribuan orang.

Selalunya apabila tetamu yang hadir melebihi jangkaan tuan rumah, maka akan timbul masalah. Tetamu mula merungut, tuan rumah tidak keruan dan paling tak sedap pihak penyaji makanan atau katering pula yang dipersalahkan.

Walau majlis sudah berakhir, masih ada 'sok-sek' jiran tetangga yang 'bergosip' tentang kekurangan yang berlaku pada majlis tersebut, terutama jika ia melibatkan hal makanan. Umpama pepatah Melayu 'rumah sudah siap pahat masih berbunyi.'

Itulah resam yang dialami kebanyakan pengusaha katering, termasuklah Mastar Catering yang diterajui pengasasnya, Mastar Muni.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Wak Mastar, berkongsi beberapa kisah pahit manis mengemudi kenduri kahwin sejak enam tahun lalu.

"Biasanya tuan rumah menetapkan jumlah tetamu. Namun ada juga berlaku yang hadir melebihi daripada dijangka. Jadi apabila makanan tidak cukup kami (pihak katering) pula yang dipersalahkan sedangkan tuan rumah yang tidak membuat persediaan dengan menambah anggaran tetamu.

"Namun bagi kami di Mastar Catering, apa yang berlaku kami jadikan pengajaran.

"Sebagai penyelesaian segera, biasanya kami menyediakan peralatan memasak di tempat kenduri dan bersedia dengan barangan mentah seperti beras dan ayam andai kata keperluan menambah makanan diperlukan secara tiba-tiba oleh tuan rumah.

"Jika makanan tidak cukup, kami terus berbincang dengan tuan rumah. Jika dia bersetuju maka kami akan terus masak nasi dan sekurang-kurangnya satu lauk seperti ayam masak merah," jelas Mastar yang ditemui di kediamannya yang terletak di Taman Impian Ehsan, Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Bercerita tentang kenangan lama yang sukar dilupakan, Wak Mastar berkata, beliau pernah hampir disaman oleh pelanggan kerana masalah makanan tidak cukup.

"Peristiwa itu berlaku pada tahun 2007. Ini merupakan kali pertama kami menerima tugasan kenduri pada waktu malam. Tuan rumah setuju masak untuk 300 tetamu tetapi yang hadir sehingga 700 tetamu.

"Kisahnya apabila tetamu yang tidak dapat makanan mengeluarkan kata-kata kesat pada seorang petugas katering dan petugas tersebut terus membela diri dengan mengatakan kekurangan makanan tersebut bukan berpunca daripada pihaknya.

"Akhirnya tuan rumah pula ingin membuat laporan polis. Kami hampir disaman kerana peristiwa tersebut sedangkan tuan rumah yang tidak mengarahkan kami untuk masak lebih.

"Kes tersebut akhirnya diselesaikan dengan cara baik. Demi maruah kami, saya mengambil keputusan untuk tidak menerima bayaran penuh dari tuan rumah," ujar Wak Mastar yang mengakui mendapat pengajaran daripada peristiwa ini.

Selain berhadapan dengan masalah makanan tidak cukup, Wak Mastar juga pernah mendapat pelanggan yang mahukan harga murah, sedangkan kos bahan mentah kini semakin tinggi.

Sudah tentu ia menyulitkan pihaknya untuk bersetuju dengan tawaran tersebut.

"Pernah juga di satu majlis itu menjelang petang sudah tiada tetamu yang datang dan tuan rumah mengarahkan kami membungkus lebihan makanan. Tiba-tiba ada pula yang hadir. Bayangkan kami terpaksa membuat hidangan semula, tetamu pula merungut pada kami seolah-olah kami yang salah.

"Inilah antara kepahitan yang kami pihak katering terpaksa hadapi bila berhadapan dengan kerenah pelbagai manusia," ujar Wak Mastar lagi.

Berhadapan dengan tuan rumah yang mahu menambah lauk dimasak sendiri juga punya kisah yang tersendiri.

Menurut Wak Mastar, jika berlaku hal itu, kesannya ada dua. Pertama kalau makanan yang ditambah itu sedap dan kedua jika makanan itu tidak sedap.

"Kalau tak sedap tentulah beri kesan kepada pihak katering. Tapi kami tentunya mempunyai penyelesaian untuk perkara ini.

"Pihak Mastar Catering biasanya akan menyediakan satu bekas khas siap dengan papan tanda yang tercatat 'persediaan dari tuan rumah.'

"Jadi tetamu akan sedia maklum tentang perkara itu. Sebab biasanya lauk dari tuan rumah ini kuantitinya sedikit, jadi penjelasan dengan papan tanda itu memudahkan semua pihak dan tidak timbul isu lagi," kata Wak Mastar yang bertuah kerana mendapat pekerja yang terdiri daripada ahli keluarganya sendiri.

Dalam tempoh lima hingga enam tahun mengemudi bahagian masakan, Wak Mastar semakin 'masak' dengan kerenah pelanggan.

Malah beliau dan ahli kumpulannya sudah mampu mengambil tempahan dari serata Malaysia.

Tempahan yang dibuat seminggu sebelum majlis juga tiada masalah bagi Mastar Catering.

Kalau pada awal perniagaan dulu mereka beroperasi dari rumah, kini beliau boleh berbangga apabila dapat beroperasi dengan lebih sistematik dan efisien dari kilang yang berhampiran dengan kediamannya sendiri.

"Bagi saya walaupun kini zaman IT (teknologi maklumat), tuan rumah sepatutnya menentukan jumlah tetamu berdasarkan kad jemputan dan bukannya jemputan dengan SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) atau Internet. Ini kerana sukar memastikan kehadiran yang tepat dengan cara itu.

"Evolusi katering dulu dan kini juga banyak berubah terutama dari aspek dekorasi dan kualiti makanan. Kebanyakan pengantin mahu konsep dekorasi yang bertema dan itu semua kami realisasikan.

"Pelanggan Mastar Catering juga memang bertuah kerana kami akan memastikan makanan yang dihidang kekal panas hingga ke petang walaupun dimasak seawal 10 pagi.

"Proses pemanasan menggunakan kaedah stim ini terbukti membangkitkan rasa teruja dan selera para tetamu walaupun mereka tiba lewat di rumah pengantin. Malah rasa makanan itu juga tidak akan terjejas sama sekali," katanya.

Antara faktor kejayaan Mastar Catering adalah kecekapan petugas dan layanan mesra dengan pelanggan dan tetamu.

Bukan itu saja, petugas juga dikehendaki berpakaian seragam yang kemas sesuai dengan imej katering itu sendiri.

"Demi memastikan tetamu puas dan rasa selesa apabila berkunjung ke rumah pengantin, kami menyelami sendiri perasaan tetamu. apa yang tetamu mahukan contohnya air, semuanya disediakan di atas meja bulat dan bukan di bahagian bufet.

"Ini semua supaya tetamu dapat menikmati hidangan dan dipermudahkan," katanya yang mengakui Mastar Catering kini mampu mengendalikan kenduri kendara di luar mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia.

Untuk tempahan katering boleh hubungi 016 - 6725543 (Wak Mastar) atau 017 - 8812241 (Dek Na).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: