Sunday, February 26, 2012

Hiasan khemah dunia Islam


BEG khemah dengan hiasan sulaman tampal, Asia Tengah, abad ke-20 M / abad ke-14 H.


SEMENANJUNG Tanah Arab menjadi pusat penyebaran agama Islam semenjak zaman Rasulullah SAW. Di zaman awal penyebaran Islam terdapat dua jenis khemah yang digunakan oleh masyarakat di Asia Barat, iaitu khemah kaum Badwi yang dikenali sebagai Bayt Sha'ar dan khemah bertiang satu seperti yang disebut di dalam Maqamat Al- Hariri.

Khemah merupakan struktur sementara yang digunakan oleh manusia untuk berlindung daripada hujan dan panas. Terdapat pelbagai jenis khemah dalam dunia Islam mengikut kegunaan atau keperluan yang bermula dari Asia Barat dan Asia Tengah.

Selain sebagai tempat tinggal bagi sebahagian masyarakat Islam di kawasan tersebut terdapat beberapa keadaan yang mana khemah diperlukan.

Ini termasuk ketika dalam perjalanan menunaikan haji dan ekspedisi ketenteraan serta perkahwinan. Rasulullah dan para sahabat juga menggunakan khemah sewaktu beriktikaf dan ekspedisi ketenteraan.

Dalam lukisan-lukisan miniatur yang dihasilkan di Turki mahupun di India terdapat banyak jenis khemah yang ditunjukkan dalam cerita yang disampaikan.

Khemah-khemah yang dihasilkan dalam lukisan-lukisan tersebut sering digunakan oleh golongan pemerintah. Ia mendapat sentuhan kesenian yang amat indah dengan penggunaan warna-warna terang dan juga motif hiasan flora dan kaligrafi yang halus buatannya.

Terdapat pelbagai jenis bentuk dan saiz khemah dalam dunia Islam. Antaranya bentuk kon dan segi empat. Ruang dalaman sesebuah khemah amat terhad dan ia selalunya hanya mempunyai satu ruang yang dikongsi oleh semua penghuninya.

Bagi khemah yang digunakan sebagai tempat tinggal, ruang ini mempunyai banyak fungsi untuk sesebuah keluarga seperti tempat memanaskan badan atau memasak dan juga pembahagian bahagian untuk tempat tidur ahli keluarga.

Untuk tujuan penyimpanan barangan keperluan harian seperti pakaian, bekalan makanan seperti tepung, rempah dan ubat-ubatan, mereka telah menghasilkan beberapa jenis beg pelbagai saiz yang boleh digantung dalam khemah.

Beg-beg yang dihasilkan ini juga boleh dipindahkan dengan mudah jika mereka berpindah ke tempat lain.

Hiasan bagi sesebuah khemah tertumpu di bahagian dalam. Tetapi bagi khemah keraian yang digunakan bagi majlis perkahwinan di Mesir, keseluruhan bahagian khemah (bahagian luar dan dalam) dihias penuh dengan sulaman tampal yang menggunakan motif geometri, arabesque, kaligrafi dan bunga-bungaan. Pilihan ayat yang digunakan untuk kaligrafi terdiri daripada puisi yang menggambarkan keindahan alam ciptaan Allah SWT.

Khemah berhias yang digunakan dalam dunia Islam merupakan hasil kreativiti seniman yang terdiri daripada golongan lelaki. Mereka bukan sahaja mendirikan khemah malah turut mahir menjahit dengan halus setiap corak sulaman tampal yang digunakan didinding-dinding khemah tersebut.

Khemah di Mesir dan Turki misalnya mempunyai struktur utama yang memerlukan tiang. Satu tiang utama yang diletakkan di bahagian tengah khemah akan memastikan keseluruhan bahagian khemah berdiri.

Ia akan diperkukuhkan lagi dengan ikatan tali di setiap penjuru khemah yang akan ditanam ke tanah. Ini untuk memastikan khemah tidak runtuh ketika angin kuat ataupun hujan.

Berbeza dengan khemah di Asia Barat dan Asia Tengah, ia mempunyai rangka bahagian dinding dan bumbung yang diperbuat daripada ranting kayu sebelum lapisan penutup diletakkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: