Wednesday, February 29, 2012

Bank perlu lebih bertimbang rasa


PERODUA mencatat jualan yang rendah sejak penguatkuasaan garis panduan pembiayaan baharu BNM pada 1 Januari lalu.


KUALA LUMPUR - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menyarankan bank-bank tempatan lebih bertimbang rasa dalam melaksanakan garis panduan baharu pembiayaan Bank Negara Malaysia (BNM) agar ia tidak terlalu 'menyakitkan' peserta industri automotif dan juga pengguna.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, pematuhan dalam melaksanakan garis panduan baharu itu juga perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat seiring dengan amalan yang berhemah, bertanggungjawab dan telus.

Dalam masa yang sama, tambah beliau, institusi kewangan perlu mengambil kira hasrat kerajaan untuk menyaksikan pertumbuhan dalam industri automotif melalui peningkatan daya saing dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih baik.

"Kami komited dalam menyokong inisiatif kerajaan, khususnya dalam menangani hutang isi rumah yang semakin meningkat, tetapi kami juga berterima kasih jika kerajaan dan badan kawal selia berunding dengan peserta industri terlebih dahulu untuk memahami dengan lebih baik lagi tentang impaknya terhadap industri, sebelum melaksanakan mana-mana inisiatif atau langkah baharu," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: