Monday, January 30, 2012

Emosi maskulin Burberry




KOT dan jejaka maskulin ibarat sahabat. Dengan sepasang kot yang kemas dibadan, berona asas atau dengan sedikit sentuhan kontras warna, gabungan zip atau butang yang terletak sempurna memberikan imej sempurna si jejaka.

Burberry Prorsum bijak menyuntik imaginasi jejaka maskulin yang sempurna ke dalam koleksi terbaharunya sempena musim luruh/sejuk tahun ini.

Inovasi rekaan kot dan jaketnya ternyata tampak begitu kemas, berkuasa, bergaya dan mempunyai aura maskulin sejati sehingga mampu menarik perhatian sesiapa sahaja.

Ia adalah siluet Burberry Prorsum kali ini. Lalu, inovasi rekaan kos mencipta pelbagai potongan kot yang dinamakan antaranya kot trench heritage, kot trench jalur besar, kot trench heritage berpotongan langsing dengan satu garis butang, kot slim seragam dan kot seragam dengan dua garis butang.

Rekaan lain adalah jaket sendat seperti potongan separuh badan, jaket separuh badan dengan poket tampal kain gebar, baju panas gebar, kolar selendang, baju sejuk berkolar selendang dan seluar panjang tirus.

Kesempurnaan rekaan kali ini turut dilengkapi perincian khas Burberry Prorsum seperti kolar baldu jahitan tangan, kolar kod ekuestrian kontras, butang katup, zip besar, lapisan satin, poket kulit dan kemeja cetakan kulit haiwan.

Fabrik kapas


BAJU panas dengan tampalan tiga warna ini dihasilkan dengan penggunaan kain kapas gaberdin.


Fabrik yang digunakan untuk menghasilkan rekaan kali ini pula adalah kain gaberdin kapas heritage, kain bulu tenun tulang ikan kasar, kain bulu tenun tulang ikan bertekstur, kain bulu houndstooth mikro, kain bulu twid mikro, kain bulu kanvas kasar, kain kapas padat dan sebagainya.

Koleksi kali ini juga tampil dalam rona asas dan sedikit rona terang dalam cetakan, kontras atau siluet. Rona-rona seperti trench, kuning air kusam, khaki kuning, khaki terang, kuning atau jingga gelap, merah gangsa, beri, plum, ungu diraja, perak gelap dan kunyit.

Selain boleh didapati di butik-butik Burberry, koleksi Burberry juga boleh didapati dalam talian di laman web burberry.com yang kini terdapat di 46 buah negara dalam enam bahasa iaitu Inggeris, Perancis, Itali, Jerman, Jepun dan Cina.


JAKET sendat potongan separuh badan menjadi penegasan kepada keseluruhan gaya jejaka ini.


Mereka yang melayari laman web tersebut juga dapat menyaksikan persembahan fesyen Burberry melalui video, gambar dan muzik untuk pengalaman membeli-belah yang maksimum.

Di butik-butik Burberry juga, ia dilengkapi dengan teknologi yang menawarkan pengalaman audio visual penuh seperti televisyen plasma yang memaparkan rakaman video di dinding butik, skrin sentuh, kawalan video dan audio melalui teknologi iPad tanpa wayar dan sebagainya.

Burberry juga melancarkan laman Instagram sejak Januari tahun lalu yang memuatkan acara-acara, di belakang tabir, produk dan gambar-gambar kempen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: