Sunday, January 29, 2012

Bawa anak demam berjudi

TAHAN... seorang bapa bersama anak lelakinya berusia tiga tahun ditahan selepas disyaki berjudi dalam serbuan di Relau.
TAHAN... seorang bapa bersama anak lelakinya berusia tiga tahun ditahan selepas disyaki berjudi dalam serbuan di Relau.

GEORGETOWN: Seorang bapa tergamak membawa anaknya yang demam semata-mata mahu berjudi, namun hajat untuk meraih keuntungan tidak kesampaian apabila dicekup polis dalam operasi di sebuah premis judi Internet di Relau, di sini, semalam.

Lelaki berusia 40-an itu turut memberi alasan isterinya sakit di rumah menyebabkan dia terpaksa membawa anak lelakinya berusia tiga tahun kerana tiada orang menjaganya.


Lelaki terbabit antara 62 yang ditahan termasuk seorang wanita lingkungan 30-an dalam operasi bersepadu judi yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) bermula jam 5 petang hingga 2 pagi semalam di 10 lokasi berasingan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, operasi dilakukan di sekitar Mount Erskine, Relau, Batu Ferringhi, Sungai Nibong, Jelutong, Dato Keramat dan Jalan Patani hasil maklumat awam dan intipan.


Katanya, sembilan premis kafe Internet yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian diperiksa dan 111 unit komputer pelbagai jenis yang diubahsuai menjadi permainan berunsur perjudian dirampas.


“Turut dirampas wang tunai berjumlah hampir RM41,000 serta beberapa peralatan perjudian.“Kami turut terkejut apabila seorang bapa sanggup membawa anaknya yang sakit pada awal pagi semata-mata mahu berjudi,” katanya ketika ditemui dalam Ops Sepadu Judi di sini, semalam.


Gan berkata, siasatan awal mendapati kafe Internet yang menjalankan kegiatan perjudian menawarkan pertaruhan serendah RM10 hingga RM100 dan mampu memperoleh hadiah wang tunai sehingga RM100,000 sehari hasil pertaruhan dibuat.

“Turut ditahan 13 penjaga dan 23 pelanggan berusia antara 20 hingga 50-an pelbagai bangsa untuk diambil keterangan diri,” katanya.


Gan berkata, sebelum itu pada jam 5 petang, pegawai dan anggotanya turut menyerbu ‘kasino rimba’ buat kali ketiga berturut-turut di Jalan Mount Erskine, di sini.


Beliau berkata, 25 lelaki dan seorang wanita ditahan dan pelbagai peralatan perjudian dirampas.


Katanya, pihaknya turut merampas wang tunai RM37,865 daripada suspek yang ditahan, termasuk tiga dadu, mangkuk, 182 keping cip pelbagai warna dan satu meja serta 20 kerusi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: