Aaron Aziz

Kemeriahan Konsert Ulang Tahun ke-27 majalah hiburan No1, Media Hiburan yang julung kalinya diadakan di pekarangan Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam masih lagi dapat dirasai biarpun konsert tersebut telah melabuhkan tirai pada lewat malam kelmarin.

Dengan kehadiran hampir 10,000 pengunjung yang rata-ratanya merupakan pembaca majalah tersebut, Media Hiburan membuktikan mereka mampu bertahan sehingga kini dengan sokongan daripada selebriti dan peminat.

Seawal jam 6 petang lagi, peminat telah mengerumuni bahagian pentas utama bagi mendapatkan tempat hadapan untuk melihat secara dekat persembahan artis terkenal tanah air.

Sorakan dan laungan peminat mula kedengaran apabila setiap artis muncul di karpet merah yang disediakan sepanjang jalan menuju ke pentas utama.

Konsert yang bermula pada jam 9 malam itu menampilkan DiGi sebagai penaja bersama dan diselang-selikan dengan penyampaian Anugerah Pilihan Pembaca Media Hiburan (PPMH) 2011/2012.

Majlis yang diacarakan oleh Nabil Ahmad dan Dira Abu Zahar itu dimulai dengan persembahan tarian daripada juara Showdown 2010, Wakaka Crew.

Majlis diteruskan dengan penyampaian Anugerah Ikon yang dimenangi oleh Datuk Siti Nurhaliza dan disampaikan oleh Editor Media Hiburan, Meen Tahrin. Siti dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada pihak Media Hiburan yang begitu banyak bertolak-ansur dan memahami jadualnya yang sibuk sepanjang bergelar anak seni.
“Terima kasih kepada pihak Media Hiburan terutama pihak Karangkraf kerana selama ini menyokong perjalanan karier Siti.

“Siti senang bekerjasama dengan Media Hiburan kerana banyak bertolak-ansur dengan jadual Siti yang ada kalanya padat dan tidak pernah memaksa Siti menghadiri sesi fotografi,” katanya yang sanggup datang dari Janda Baik untuk meraikan majlis itu.


Konsert gamat

Selepas menerima anugerah, majlis diteruskan lagi dengan persembahan lagu rancak daripada Nubhan, Juwita dan lagu irama balada berjudul Mata Hati.

Penyampaian anugerah selepas itu semakin gamat apabila pelakon Ombak Rindu, Aaron Aziz meraih Anugerah Selebriti Kacak.

Pantang sahaja muncul nama Aaron Aziz di setiap pencalonan, pasti peminat-peminatnya akan bersorak.

Majlis bertambah meriah apabila Aaron memberikan bunga yang dimenangi kepada Nabil. Boleh dikatakan sepanjang malam tersebut, Nabil asyik memperkatakan mengenai filem Ombak Rindu yang dilakonkan oleh Aaron.

Persembahan diteruskan lagi dengan nyanyian lagu Move Like Jagger dan Biarlah Rahsia daripada Siti Nurhaliza.

Majlis terus gamat dengan persembahan daripada Alif Aziz yang mendendangkan lagu popularnya, Sayang-Sayang dan diikuti penyanyi yang berasal dari Sabah, Adira menyanyikan lagu tema Ombak Rindu.

Ternyata penangan filem itu masih lagi dapat dirasai apabila peminat turut sama menyanyikan lagu tersebut.

Dalam pada itu, Dafi turut mencuri perhatian setelah tidak lama muncul dengan menyanyikan lagu barunya, Bila Cinta Tiada Lagi.

Turut mengambil peluang membuat persembahan pada malam itu, bakat baru di bawah syarikat rakaman Kasi Gegar Entertainment, Amir Jahari yang mendendangkan single barunya, Tanpamu sambil bermain gitar.

Konsert diteruskan lagi dengan persembahan daripada Awi Rafael dan Akim, masing-masing menyampaikan lagu Bila Aku Jatuh Cinta dan Just The Way You Are.

Tambah hangat, Stacy yang sejak awal majlis menerima sorakan daripada peminat-peminatnya tampil membuat persembahan menyanyikan lagu Kisah Dongeng dan Kasanova.

Konsert berakhir dengan persembahan daripada kumpulan 6ixth Sense yang menyampaikan tiga lagu termasuk lagu Menyesal.


Aaron menang lagi satu anugerah

Dalam pada itu, anugerah PPMH 2011/2012 menyaksikan Aaron Aziz memenangi satu lagi kategori iaitu Anugerah Hot Papa dengan menewaskan Faizal Tahir, Fazley Yaakob, Norman Hakim dan Zamarul Hisham.

Ternyata lakonannya sepanjang tahun ini memberikan impak yang besar kepada Aaron kerana menjadi pilihan pembaca Media Hiburan untuk memenangi dua kategori.

Selain Aaron, Shaheizy Sam turut merangkul Anugerah Selebriti Favourite dan Anugerah Selebriti Cekal diraih oleh Abby Abadi.

Sementara itu, pelakon Norman Hakim turut dipilih memenangi Anugerah Seksi Lelaki dengan menewaskan Aaron Aziz, Zul Arifin, Ady Putra dan Jehan Miskin.

Penyanyi berbakat besar, Yunalis Zarai atau Yuna pula menerima Anugerah Harapan sementara Anugerah Selebriti Jeliti menjadi milik pelakon Rozita Che Wan.

PPMH turut memberikan anugerah khas kepada Datuk Yusof Haslam kerana khidmat dan jasanya yang begitu banyak kepada industri perfileman negara.

Dalam pada itu, Meen Tahrin yang ditemui selepas majlis tersebut berkata, pihak Media Hiburan berkemungkinan akan mengadakan konsert dan anugerah yang sama tahun depan di pekarangan Kompleks Karangkraf memandangkan sambutan yang begitu menggalakkan.

“Ini merupakan kali pertama kami mengadakan konsert di sini dan tak sangka sambutannya sungguh luar biasa.

“Jadi, kami mungkin akan mengadakan lagi majlis seperti ini di sini pada tahun depan,” katanya yang berterima kasih dengan kehadiran ramai selebriti dan sokongan daripada pembaca Media Hiburan.

Majlis itu turut dihadiri hampir 100 selebriti tanah air termasuk Fazura, Neelofa, Hans Isaac, Rozita Che Wan, Aaron Aziz, Shahz Jazle, Gambit Saifullah, Fizz Fairuz, Zain Saidin, Marsha, Kaer Azami, Izara Aishah, Dynas, Julia Ziegler, Syamsul Yusof, Rosyam Nor, Lisdawati dan Fauzi Nawawi.

Anugerah PPMH mula diperkenalkan sejak 1996 yang bertujuan menghargai golongan artis yang mewarnai dunia hiburan tanah air.

Pada masa sama, anugerah itu turut memberi peluang kepada pembaca setia Media Hiburan untuk memilih artis.

Uniknya, keputusan Anugerah PPMH adalah 100 peratus dipilih berdasarkan undian pembaca majalah tersebut.