Saturday, December 31, 2011

Profima Tubuh Akademi Filem Di Kelantan

KUALA LUMPUR: Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia, (Profima) akan menubuhkan sebuah akademi filem di negeri Kelantan pada April tahun depan.

Menurut presidennya. Khir Mohd Nor, penubuhan akademi tersebut dilakukan selepas Profima menandatangani perjanjian memorandum persefahaman MoU dengan kerajaan negeri Kelantan.

"Jangan salah faham pula, penubuhan ini tiada kaitan langsung dengan isu politik. Cuma apabila peluang berada di depan mata, pihak kami mengambil peluang ini demi memajukan industri perfileman kita.

"Buat permulaan, akademi ini akan menyediakan lima jenis kursus jangka pendek iaitu pengurusan filem, teknikal kamera, teknikal lampu, produksi seni rekaan dan penyuntingan," katanya yang ditemui pada majlis menandatangani MoU di antara Profima dan sebuah produksi dari India, Fantastic Villa Sdn Bhd.

Tambah Khir, akademi tersebut juga memberi peluang kepada anak-anak muda yang lebih cenderung mendalami ilmu filem secara praktikal dan ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat.

"Ia juga ditubuhkan untuk krew-krew belakang tabir yang sudah pun menyertai industri perfileman tanpa pengajian khas. Ini sekali gus dapat mengasah bakat teknikal mereka terutamanya dan pada masa sama dapat diimplikasikan ketika bekerja dengan mana-mana produksi.

"Saya harap menerusi akademi ini, industri filem kita dapat melahirkan lebih banyak krew teknikal yang bagus," ujarnya.

Sementara itu, beritahu Khir, jalinan MoU di antara Profima dan Fantastic dilakukan bagi memantapkan industri pelancongan filem di mana segala urusan penggambaran di bawah produksi Fantastic di negara ini memerlukan mereka mengambil sebanyak 30 peratus khidmat pekerja krew tempatan.

Menerusi perjanjian tersebut, krew tempatan sekali gus dapat berkongsi teknologi yang dipelajari masing-masing.

"Sebenarnya negara kita antara yang paling mudah untuk pihak luar membawa masuk 100 peratus krew mereka sendiri sedangkan jika di negara lain seperti Indonesia, mereka hanya menerima krew yang penting sahaja.

"Menerusi perjanjian ini juga, pihak Profima akan menghantar mana-mana krew produksi yang layak menjalani kursus jangka pendek di India," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: