Friday, December 30, 2011

Ambang 2012 di George Town


TAPAK Esplanade Pulau Pinang akan menjadi lokasi untuk sambutan ambang tahun baru 2012 dan ulang tahun bandar raya George Town.


LOKASI bersejarah Esplanade, Padang Kota Lama, Pulau Pinang bakal menyaksikan kehadiran kira-kira 130,000 pengunjung pada malam Sabtu ini apabila sambutan ambang Tahun Baru 2012 di dirai serentak dengan sambutan bandar raya George Town.

Ia merupakan kolaborasi idea oleh CreatiVision D.C Sdn. Bhd. (CreatiVision) bersama peneraju khidmat telekomunikasi, Celcom Axiata Berhad (Celcom) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Bukan sekadar konsert yang menjadi tarikan utama sambutan berkembar itu nanti bahkan, persembahan jalanan termasuk perarakan pancaragam, kelab-kelab dan pihak swasta.

"Semuanya bagi menjayakan sambutan tahun baru yang paling hebat buat penduduk Pulau Mutiara," ujar Pengarah Urusan CreatiVision, Adelyn Lim.

Menurut wanita itu, sambutan diberi nama Penang Golden 2012 (PG2012) New Year Countdown Celebration itu menggambarkan keceriaan penduduk negeri yang bergabung sebagai satu entiti dengan semangat muhibah.

Katanya, kemungkinan sambutan di tempat lain lebih meriah tetapi, yang berbeza pihaknya akan mengutamakan aspek kebersihan dan kehijauan apabila melarang penggunaan beg plastik.

"Sepanjang sambutan nanti, kita juga akan menempatkan pemerhati bagi merakam wajah pesalah yang membuang sampah merata-rata di layar gergasi, manakala pengunjung yang prihatin pula akan diberikan cenderamata.

"Penganjur juga akan memastikan tiada satu sampah pun ditinggalkan di Esplanade selepas tamat sambutan. Untuk itu orang ramai perlu memberikan kerjasama atas kecintaan kekepada kebersihan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran PG2012 di Hotel Gurney baru-baru ini.

Selain persembahan pentas artis popular seperti Bunkface, Azlan The Typewritter dan Sofaz, PG2012 turut dimeriahkan dengan pertandingan tarian jalanan yang menyasarkan penyertaan kumpulan-kumpulan remaja.

Acara pada malam itu akan dikendalikan oleh dua penyampai terkenal tanah air iaitu DJ KK dan DJ Myra dari Suria FM yang juga selaku stesen radio rasmi PG2012.

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Edaran Celcom Wilayah Utara, Saiful Bahrin Abdul Ghaffar berkata, pembabitan Celcom kali ini bagi meraikan para pelanggannya tanpa mengira lapisan usia dalam satu sambutan yang meriah.

"Celcom berasa bangga dapat membawa satu persembahan pada malam tahun baru di samping memperkenalkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan kepada orang ramai," katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.9-creativision.com atau laman sosial www.facebook.com/creativision.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: