Thursday, December 29, 2011

Aaron Aziz Teruja Mahu Bertarung Dengan Rosyam

PETALING JAYA: Pelakon popular filem Ombak Rindu, Aaron Aziz, 35, (gambar) yang sedang menjalani penggambaran filem KL Gangster 2 teruja menunggu babak pertarungan dengan pelakon Rosyam Noor dalam filem tersebut.

Menurut Aaron, ini merupakan kali pertama dia berlakon dengan Rosyam dan adegan pergaduhan tersebut dijangka mengambil masa selama tiga hari berturut-turut untuk disiapkan.

“Saya dan Rosyam akan bertarung dalam satu adegan pergaduhan yang agak besar selama tiga hari bermula 8 Januari depan di lokasi yang belum diketahui.

“Dalam filem ini, saya dan Rosyam bermusuh. Pengarahnya Syamsul mengambil keputusan untuk melakukan penggambaran aksi pertarungan besar ini pada akhir penggambaran,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Tambah Aaron lagi, untuk adegan aksi ngeri, dia melakonkan sendiri watak berkenaan seperti yang diminta oleh Syamsul.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak mengalami apa-apa kecederaan sewaktu melakon aksi bertarung walaupun waktu itu saya perlu bertarung dengan ramai orang.

“Cuma masalah kepenatan akan mengganggu konsentrasi persembahan lakonan saya,” ujarnya.

Menyentuh tentang babak pertarungan, Aaron perlu belajar teknik-teknik tertentu untuk menjadikan lakonannya dalam filem tersebut lebih menarik.

“Biasanya, setiap koreografi dilakukan semasa hari penggambaran tanpa ada latihan. Alhamdulillah, saya dapat melakukan koreografi aksi itu. Bagaimanapun, apa yang saya persembahkan tidak mungkin dapat menandingi gaya lakonan pelakon Ong Bak, Tony Jaa,” ujarnya.

Selepas mendapat perhatian peminat menerusi drama Nora Elena, Stanza Cinta, KL Gangster dan Ombak Rindu, Aaron tidak menafikan tawaran lakonan untuknya semakin bertambah sehingga menyebabkan dia perlu bersikap memilih.

“Selepas ini saya akan memasuki penggambaran filem psiko seram berjudul Kerat 14 arahan S Baldev di samping Siti Saleha.

"Pada penghujung Februari pula saya akan berlakon dalam drama adaptasi novel Adam dan Hawa terbitan Astro,” kata Aaron.

Selain itu, dia akan terbang ke Tokyo, Jepun pada 11 Januari depan untuk menjayakan program sukan perlumbaan kereta anjuran M7 setelah dilantik sebagai Duta minuman Drive M7 pada 17 September lalu.

“Saya akan mengambil peluang ke Jepun pada awal Januari ini untuk bercuti dengan isteri saya, Diyana Halik.

“Selepas itu, mungkin saya akan membawa anak-anak dan isteri saya ke Australia untuk menjalani penggambaran Adam dan Hawa pada hujung Februari depan,” katanya.

Adam dan Hawa dijangka akan menjalani penggambaran di tiga lokasi uar negara iaitu Australia, Mekah dan India.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: