Tuesday, November 29, 2011

UMT fokus kajian makanan tempatan



Penghasilan pelbagai produk makanan berasaskan bahan mentah tempatan menjadikan UMT dikenali sebagai pusat pengajian yang mengutamakan produk tempatan dan meningkatkan nilai pemakanan.


AGAK menarik untuk melihat pembabitan sebuah universiti yang memberi fokus kepada bidang pemakanan.

Ini kerana, pelbagai keunikan makanan akan ditampilkan menerusi penyelidikan menggunakan produk berasaskan tanaman tempatan.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) antaranya yang memfokuskan penyelidikan makanan tempatan dengan menghasilkan pelbagai jenis makanan sama ada berat atau ringan.

UMT menerusi Jabatan Sains Makanan, Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan (FASM) telah memperkenalkan pelbagai jenis makanan yang berasaskan rosel melalui Roselle Special Interest Group (RSIG) seperti ais krim, yogurt, jeruk, gegelung buah (leather bar) dan biskut.

Menurut Ketua Jabatan Sains Makanan, fakulti berkenaan, Dr. Amir Izzwan Zamri, pihaknya telah mengenal pasti tidak kurang enam tanaman tempatan yang diberi fokus untuk dijadikan asas menghasilkan pelbagai jenis makanan seperti nira nipah, buluh madu, coklat, buah-buahan nadir dan produk laut.

''Projek-projek berkenaan bertujuan mempelbagaikan makanan dan mempopularkan semula makanan yang kian pupus," katanya.

Beliau memberi contoh, antara kaedah mempelbagaikan jenis makanan ialah membuat aiskrim daripada rosel yang kini dalam proses ujian pasaran .

Begitu juga penyelidikan mengenai nira nipah yang juga dijadikan bahan asas pembuatan aiskrim, serbuk, gegelung buah, produk biskut, jeli dan juga jem.

Malah produk aiskrim nira (Nira Delights) telah memenangi pingat emas, Platinum dan Anugerah Khas Reka Cipta Terbaik (Kategori Pengguna) daripada The Foundation of Support of Iranian Elites 2008, pada Pameran Reka Cipta British dan perak pada Pameran Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2007. Ini membuktikan bahawa produk nira bukan sahaja diterima di arena tempatan malah di luar negara.

Satu daripada produk tempatan yang dihasilkan ialah menggunakan buluh madu yang mana penyelidikan bertujuan mengenal pasti kandungan aktifnya dan kesesuaiannya untuk dijadikan produk-produk sampingan.

Penyelidikan lain termasuk mengubahsuai penggunaan lemak koko dengan menggunakan bahan gantian lain bagi mendapatkan bahan berguna yang berbeza selain mengurangkan lemak yang terdapat dalam coklat .

Mengenai penyelidikan buah-buahan nadir beliau berkata, ia melibatkan ceri Terengganu, buah mentega dan buah cermai yang digunakan untuk menghasilkan jem, sos, gegelung buah dan lain-lain produk.

Selain itu, penyelidikan mengenai produk perikanan seperti udang lipan, belut, haruan, ketam ragi, kepah dan lokan juga dijalankan untuk menghasilkan banyak produk hiliran dan makanan tradisional.

Kebanyakan sumber perikanan ini mempunyai nilai pemakanan yang tinggi dan tidak digunakan secara komersial.

Aktiviti lain termasuk sebagai penasihat projek Kelab Student in Free Enterprenurship (SIFE) yang memenangi tempat pertama BSN Venture Challenge 2010 dengan projek komuniti berasaskan nira nipah.

Projek berkenaan disasarkan untuk membangunkan penggunaan nira nipah yang pada ketika ini terbatas penggunaannya.

Projek yang dijalankan bersama dengan komuniti di Yan, Kedah dengan bantuan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menunjukkan bahawa aktiviti UMT tidak hanya terbatas di Terengganu malah boleh membantu komuniti di seluruh negara.

Selain itu, fakulti berkenaan juga mengadakan bengkel penghasilan produk makanan komersial serta khidmat nasihat industri kecil.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah bengkel tanggungjawab sosial universiti yang memberikan pendedahan kepada golongan wanita dan ibu tunggal. Mereka diberi latihan secara percuma dalam penghasilan produk-produk hiliran seperti kordial, jem, cincau dan produk-produk berasaskan soya.

Pada masa sama, jabatan berkenaan juga melalui kursus yang diajar menggalakkan pelajar mencuba pelbagai kaedah untuk menghasilkan makanan yang lebih sihat yang menjadi kegemaran penduduk negara ini.

Kejayaan fakulti berkenaan dalam beberapa penyelidikan sebelum ini disokong bukan sahaja oleh tenaga pelajar dan pelajarnya yang semakin kreatif tetapi juga dibantu oleh kemudahan canggih bersesuaian dengan keperluan penyelidikan.

Antara kemudahan yang disediakan adalah lima makmal (Makmal Analsis Kimia, Makmal Sains Makanan, Makmal Teknologi Makanan, Makmal Penyediaan Makanan, Makmal Konfeksionari) dan Restoran Jabatan Sains Makanan.

''Kemudahan ini membolehkan pelajar boleh menjalankan analisis kandungan makanan dengan menggunakan alat-alatan terkini, menggunakan alat-alatan untuk pemerosesan, penghasilan makanan berasaskan tenusu dan coklat serta menjalankan perniagaan secara praktikal di restoran," ujarnya .

Sebagai contoh kata Dr. Amir Izzwan, kajian juga dijalankan untuk menghasilkan nasi lemak yang lebih menyihatkan iaitu menggantikan santan dengan bahan lain seperti kacang soya.

Penyelidikan melalui fasa uji rasa, penyelidikan kandungan nutrient dan jangka hayat makanan. Keputusan menunjukkan bahawa campuran susu soya boleh diterima dengan baik dan meningkatkan nutrient yang ada didalam nasi lemak

Meskipun projek berkenaan masih di peringkat kajian, pihaknya yakin ia boleh diterima sekiranya rakyat negara ini menyedari kepentingan menjaga kesihatan dengan mengambil diet yang sihat.

Selain itu banyak kajian-kajian lain yang dilakukan untuk menghasilkan makanan yang lebih sihat tetapi menyelerakan.

Antaranya, memanfaatkan bahan mentah asas yang akan diteroka adalah ubi-ubian (kanji), produk berasaskan bahan sampingan jagung dan bahan-bahan sampingan pemerosesan ikan.

Pada masa sama, terdapat produk-produk yang didalam fasa perbincangan untuk dikomersialkan.

Pengkomersialan biasa akan diikuti oleh perundingan serta pengawalan kualiti oleh UMT untuk memastikan produk yang dihasilkan adalah berkualiti dan menepati piawaian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: