Tuesday, November 29, 2011

UiTM berjaya atasi rekod lama



Wakil pembangkang, Muhammad Hezri Razali dari Fakulti Perancang Seni Bina dan Ukur menyampaikan perbahasannya kepada pihak pencadang pada Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti di UiTM, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 28 Nov. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya mengatasi rekod debat paling lama yang tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBR) pada sesi ke-101 program Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti (Debat 211 Jam) di sini hari ini.

Rekod debat MBR paling lama sebelum ini yang dicipta oleh pelajar UiTM pada 2006 adalah selama 100 jam, 10 minit dan 44 saat.

Rekod itu berjaya dipecahkan kira-kira pada pukul 1 petang, hari kelima Debat 211 Jam yang berlangsung tanpa henti selama sembilan hari bermula 24 November lalu sehingga 2 Disember ini.

Rekod debat itu akan diteruskan lagi bagi menamatkan baki 111 jam dan seterusnya mencapai sasaran Debat 211 Jam yang ditetapkan oleh pihak penganjur.

Sidang ke-101 itu diwakili oleh enam peserta dari UiTM Samarahan, Sarawak yang terdiri daripada pelajar Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Fakulti Pengurusan Maklumat, Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Fakulti Perancang Seni Bina dan Ukur.

Usul perbahasan pada sesi itu ialah 'Ancaman Subversif: 1Malaysia Penawarnya' yang telah digagaskan oleh pihak pencadang mewakili kerajaan iaitu Nur Khairanie Nasya Jasni, Mohd. Jastu Yusof dan Mohd. Syafiq Asyraf Mod. Zaini.

Pihak pembangkang pula diwakili oleh Sebastian Dominic AK Augustine Alok, Alena Abu Bakar dan Sharmilla Asmiza Saiful Bahri.

Bagi tempoh perbahasan untuk hari kelima ini, sebanyak 101 usul dibahaskan oleh 188 pasukan melibatkan seramai 580 pendebat iaitu 353 pendebat wanita dan 227 pendebat lelaki.

Daripada jumlah itu, sebanyak 172 pasukan merupakan penyertaan dalaman daripada 11 fakulti, Pusat Kokurikulum (Pengucapan Awam dan Komander Kesatria), Kelab Pidato dan Debat, UiTM Dungun, UiTM Kampus Chendering, UiTM Kelantan, UiTM Melaka dan UiTM Sarawak.

Manakala terdapat 16 penyertaan pasukan luar dari institusi-institusi pengajian tinggi (IPT), organisasi dan institusi luar lain termasuklah Akademik Debat Nusantara, Universiti Multimedia (MSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Institut Pendidikan Guru Gaya Sabah.

Sementara itu, Penasihat Program Debat 211 Jam, Noriza Hussin berkata, usaha memecahkan rekod 100 jam telah dicapai dan masih memerah keringat tenaga untuk mencapai sasaran rekod MBR terbaru 211 jam.

"Kita masih menanti dengan harapan yang tinggi untuk mencapai cubaan MBR Debat 211 Jam bagi mencatatkan nama UiTM di dalam buku tersebut.

"Kita ada baki selama lima hari lagi untuk merealisasikan Debat 211 Jam yang bakal menaikkan imej UiTM dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: