Tuesday, November 29, 2011

Taylor menang anugerah



PELAJAR Universiti Taylor yang menjuarai Anugerah Paparan Gerai Pameran Terbaik 2011.


PASUKAN daripada Pelajar Pusat Pengajian Seni Bina, Bangunan dan Reka Bentuk (SABD) Universiti Taylor muncul sebagai pemenang utama Anugerah Paparan Gerai Pameran Terbaik 2011 di Pameran Karya Pelajar Seni Bina Tahunan 2011 Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) yang diadakan baru-baru ini.

Pasukan Projek Corrallien itu dianggotai pelajar Sarjana Muda Sains, Sarah Ahmad, Yvonne Tan Jie Yong, Yap Yuan Li, Kwan Teck Hong, Lee Kah Wei, Sim Ee Von, Charina F. Siguty, Chong Eng Wei, Melvin Gan Yew Pang, Joseph Ling dan Hau Jun You.

Ketua pasukan Sarah Ahmad berkata, kemenangan itu membuktikan usaha bekerja secara berkumpulan dalam menjuarai pertandingan ini.

"Kami bersengkang mata setiap malam untuk mendapatkan bahan bagi membina struktur binaan dan berjaya menyiapkan dalam tempoh ditetapkan.

"Kami sungguh gembira apabila diumumkan sebagai pemenang dan segala kerja keras kami ternyata berbaloi sehingga dinobatkan sebagai pemenang," katanya.

Kemenangan ini melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM750 dan sijil penyertaan.

Projek Corrallien menggunakan papan gelugur plastik, pembalut buah, botol plastik, kancing plastik, tali pancing, penyaring plastik dan beg plastik bagi membina struktur seperti karang bertemakan laut.

Sementara itu, Ketua pasukan bersama, Yvonne Tan Jie Yong berkata, idea itu dicetuskan melalui kreativiti berdasarkan pemandangan laut.

"Idea kami menjurus kepada keindahan di dasar laut. Kami teruja apabila hasil karya kami diktiraf dan menjuarai pertandingan ini, "katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: