Monday, November 28, 2011

Syampu buat wanita bertudung


SYAMPU yang membuatkan rambut kesat selepas digunakan sebenarnya lebih baik kerana ia merupakan kesan selepas minyak pada kulit kepala disingkirkan.


MASALAH kelemumur bukan lagi asing dengan wanita bertudung terutama sekali bagi mereka yang sentiasa bergerak aktif.

Bermula dengan kulit kepala berminyak, rambut wanita bertudung mudah diserang jangkitan fungus yang bertindak menyekat ruang pada akar rambut seterusnya mengundang masalah kelemumur, rambut gugur dan rambut gatal.

Pakar Nutrisi Himalaya Herbal Healthcare, Noor Aishah Abdullah, 24, mendedahkan bahawa kebanyakan wanita bertudung jarang mencuci rambut mereka dengan syampu pada waktu malam.

“Mencuci dengan air sahaja tidak menyingkirkan minyak pada kulit kepala yang terbentuk selepas seharian rambut tertutup dengan tudung.

“Cara seseorang menggunakan syampu rambutnya juga memainkan peranan penting bagi mendapatkan rambut yang sihat dan cantik,” jelasnya.

Ketika rambut disyampu, kata Aishah, seseorang itu perlu mengurut kepalanya selama tiga minit bagi membolehkan pengaliran darah lancar serta membolehkan nutrien syampu tersebut menyerap ke dalam akar rambut.


KELEMUMUR merupakan masalah yang sering dihadapi wanita bertudung akibat kulit kepala berminyak.


Selain itu, perapi rambut yang digunakan selepas syampu juga sebenarnya bukanlah semata-mata bertujuan untuk menjadikan rambut lebih sihat.

“Peranan perapi rambut adalah untuk melembutkan dan mencantikkan rambut, bergantung kepada jenis rambut seseorang. Mereka yang mengalami masalah rambut kering serius ataupun kulit kepala normal juga digalakkan menggunakan perapi.

“Wanita bertudung yang sering mengalami masalah kulit kepala berminyak tidak digalakkan menggunakan perapi kerana ia akan menyebabkan kulit kepala lebih berminyak,” ujar Aishah yang menyatakan bahawa perapi rambut perlu dibiarkan selama tiga minit sebelum dibilas.

Pemilihan jenis syampu juga mempengaruhi tahap kesihatan rambut wanita bertudung, efek syampu yang memberikan kelembutan segera sebenarnya bukan bermaksud syampu yang digunakan itu sesuai dengan kulit kepala.

Majoriti syampu yang menjadikan rambut lembut dengan segera mengandungi bahan kimia iaitu paraben dan silikon. Ia hanya berfungsi menjadikan rambut lembut dan kuat dalam tempoh yang singkat.


HIMALAYA menawarkan barisan syampu berasaskan herba yang sesuai untuk semua jenis rambut.


“Syampu terbaik buat wanita bertudung ialah syampu yang berasaskan herba. Untuk pengetahuan semua, syampu yang membuatkan rambut terasa kesat itu sebenarnya syampu terbaik buat kita.

“Rambut kesat selepas syampu disebabkan minyak pada kulit kepala telah disingkirkan dan selepas 15 minit kita akan merasakan rambut lebih ringan dan lembut.

“Bagi mengekalkan rambut sihat juga, kita perlu menggunting hujung rambut yang bercabang, minum air kosong secukupnya dan banyakkan memakan lobak merah serta teh hijau,” saran Aishah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: