Tuesday, November 29, 2011

Safura tabah hadapi dugaan


Safura tabah hadapi dugaan

Dugaan kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata, bukan perkara mudah untuk ditelan. Apatah lagi dalam tempoh kurang sebulan, dua insan pergi meninggalkan dunia buat selama-lamanya.

Situasi itulah yang perlu dihadapi penyanyi dan juga pelakon, Safura, setelah kehilangan anak dan ayah dalam bulan sama.

Menurut Safura, pemergian anak sulungnya, Nur Aisyah Mariam,3, yang meninggal dunia pada 12 September lalu belum terubat, ditambah pula dengan pemergian bapanya, sembilan hari selepas itu.

“Saya masih dalam proses pemulihan selepas apa yang menimpa diri dan keluarga. Rasa seperti mimpi pula, selepas sembilan hari anak ketiga saya meninggal dunia, saya dikejutkan pula dengan kematian bapa saya.

“Walaupun saya reda dengan apa yang berlaku, tetapi saya memang tak boleh hendak melupakan kenangan bersama mereka terutama sekali anak saya. Bila di rumah, saya masih lagi terbayangkan wajah dan gelagat anak saya. Kadang-kadang mengalir air mata bila mengenangkannya," katanya selepas pratonton telefilem Parit Jawa di GSC The Gardens, baru-baru ini.
Dekat denganALLAH SWT.

Safura berkata, ujian ini menjadikan dia lebih kuat dan dekat dengan ALLAH SWT. Malah Safura memegang nasihat arwah bapanya yang meminta dia banyak menyedekahkan Al-Fatihah kepada insan yang telah pergi.

“Arwah bapa saya memahami perasaan saya yang kehilangan anak dan sehingga sekarang saya masih terkenangkan Mariam dan terpaksa menangis untuk melepaskan perasaan sedih.
“Jadi daripada saya tak tentu arah teringatkan anak dan bapa saya, saya pun banyak mengaji di rumah. Secara tidak langsung, ujian yang menimpa ini banyak membuatkan saya berasa dekat dengan ALLAH SWT,” katanya.

Safura yang kini sarat hamil, berehat sebentar dari dunia lakonan untuk menenangkan perasaan di samping memberi perhatian terhadap anak keempatnya, Yusof Firdaus, yang kini berusia setahun.

"Walaupun Yusof masih kecil, tetapi dia begitu terasa kehilangan kakaknya. Malah dari seorang yang ceria, Yusof banyak berdiam diri, malah baru-baru ini dia ditahan di hospital kerana paru-paru berair.

"Pernah pada suatu hari, Yusof menangis dan menjerit semasa memegang telefon bimbit bapanya (Sharonizam Noor), rupa-rupanya dia terlihat rakaman video dia dan kakaknya sedang bermain. Jika dia sendiri merasa rindu, apatah lagi saya yang bergelar ibu.

“Selain itu juga, saya perlu menjaga kandungan saya sekarang yang tinggal beberapa bulan sahaja untuk bersalin. Harap semuanya berjalan lancar dan selamat. Insya-Allah,” tambahnya.
Safura bakal muncul dalam super telefilem Parit Jawa bersama pelakon lain seperti Eman Manan, Zahiril Adzim dan Ruminah Sidek di Astro Box Office Tayangan Hebat (saluran 952), Disember ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: