Monday, November 28, 2011

Pertembungan Gendang



JIKA di Brazil, konsep batucada yang bererti bermain gendang beramai-ramai cukup terkenal dalam kalangan masyarakat mereka. Kebiasaannya ia akan melibatkan jumlah pemain muzik yang ramai mencecah 20 orang dan menghimpunkan pelbagai jenis alat perkusi (percussion).

Konsep muzik yang diklasifikasikan dalam kumpulan samba Brazil itu sudah mula berkembang di beberapa buah negara termasuk Singapura tetapi pengetahuan tentang muzik itu belum begitu mekar di Malaysia.

Lima tahun lalu, sebilangan anak muda lulusan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tanpa diduga menubuhkan kumpulan pertama di Malaysia yang membawa konsep muzik batucada Brazil.

Busking di Bukit Bintang

Diketuai Mohd. Hisharudy Mahmud, 26, kumpulan yang mahu digelar WPU itu bermula dengan melakukan persembahan jalanan (busking) di Bukit Bintang setiap Jumaat.

"Ketika baharu berjinak-jinak dengan batucada, kami tidak mempunyai instrumen khas sendiri dan bagi mendapatkan bunyi yang hampir serupa, kami pecahkan set-set dram.

"Selepas menerima jemputan mengadakan persembahan pertama di Borneo Baruk Club untuk satu majlis pada tahun 2007, kumpulan kami mula diberi perhatian dan duit hasil setiap persembahan kami kumpul bagi membeli instrumen sebenar," jelas Hisharudy.

Mula membeli instrumen wajib batucada, surdo pada tahun 2009 di Singapura, bilangan ahli WPU juga semakin bertambah kepada 13 orang berbanding asal seramai 10 orang.

"Bayangkan sebelum memiliki surdo asli, kami membuat surdo sendiri menggunakan besi murah bagi mendapatkan bunyi seakan-akan serupa. Tanpa surdo dan snare, persembahan berkonsep batucada kurang menjadi kerana kedua-dua alat ini merupakan asas dalam batucada," tambah Hisharudy yang memberitahu harga bagi satu surdo bernilai RM1,200.

Elemen Malaysia

Selepas bertahun-tahun menjalankan percubaan bagi menggabungkan beberapa gendang dan instrumen tradisional tempatan ke dalam batucada, WPU akhirnya berjaya mengenal pasti barisan instrumen tradisional yang sesuai digunakan.


WALAUPUN sibuk dengan undangan persembahan, kumpulan ini masih lagi melakukan basking di Bukit Bintang jika ada masa terluang.


Nik Mohd. Izzham Che Man, 23, menyatakan bahawa tujuan mereka menggabungkan gendang Brazil dan Malaysia adalah bagi menunjukkan bahawa gendang tempatan mempunyai keistimewaan sama tinggi dengan gendang-gendang negara lain.

Sehingga kini, rebana Melayu, rebana dikir barat, gendang dua muka, dhol (gendang India) dan serunai merupakan antara instrumen tempatan yang menjadi kewajipan dalam persembahan mereka.

"Negara kita sahaja mempunyai lebih 20 jenis gendang tetapi ramai yang tidak tahu menyebabkan ia sekadar dimainkan golongan berusia sahaja sementara anak muda lebih tertarik kepada instrumen moden seperti gitar, dram dan lain-lain.

"Matlamat kami adalah bagi mengkomersialkan instrumen tempatan ke peringkat antarabangsa. Tetapi untuk sampai ke tahap itu, masyarakat kita sendiri perlu memberi peluang kepada instrumen-instrumen ini untuk berkembang," kata Izzham.

Seorang lagi ahli WPU, Abdullah Firlany Abdul Malik, 24, mendedahkan bahawa walaupun Malaysia kaya dengan pelbagai jenis gendang, namun tiada satu pun daripadanya tersenarai dalam alat perkusi global.

Setiap kali WPU melakukan persembahan, mereka akan memastikan instrumen tempatan diberi perhatian sewajarnya terutama penonton warga asing.

"Ketika melakukan basking di Bukit Bintang, majoriti penonton di situ merupakan pelancong asing dan ada dalam kalangan mereka begitu tertarik dengan kombinasi instrumen dua benua itu.

"Serunai contohnya, mungkin kelihatan tidak sesuai digabungkan dengan batucada tetapi kami telah membuktikan ia tidak mustahil," ujar Firlany.

Perahu Kayuh

Keunikan batucada WPU boleh dilihat pada lagu-lagu ciptaan mereka yang bertemakan nasihat serta perjuangan kaum Melayu untuk bangkit dalam menongkah arus global yang semakin sukar.

Dengan alat perkusi Brazil seperti surdo, repenique, malacacheta, snare, pandeiro, chocalho, agogo bell ditambah dengan instrumen tempatan iaitu rebana dikir barat dan kesi serta alat muzik Afrika seperti timbau dan djembe, WPU mampu menciptakan nukilan muzik global dengan lirik bahasa Melayu.

Lagu berbentuk dikir barat bertajuk Perahu Kayuh sudah menjadi kegemaran pengikut setia kumpulan WPU dan seringkali menjadi permintaan setiap kali mengadakan persembahan.


WPU sanggup belajar bahasa Portugis bagi memastikan sebutan dan penggunaan bahasa yang digunakan dalam lagu tersebut lebih sempurna.


Menggunakan loghat Kelantan, Perahu Kayuh ciptaan bersama WPU itu cuba menyampaikan mesej keamanan serta peneguhan iman dalam diri.

Cuba mengikut acuan golongan muda hari ini yang begitu taksub terhadap muzik yang dibawa band-band indie, WPU bagaimanapun mahu membentuk identiti sendiri bagi memancing perhatian masyarakat tempatan.

"Band indie rata-rata memiliki lagu dalam standard serupa dan instrumen yang digunakan juga sudah biasa didengar orang.

"Muzik WPU berbeza kerana kami satu-satunya kumpulan perkusi di Malaysia yang menjadikan alat perkusi sebagai instrumen utama dalam persembahan dan juga lagu.

"Durasi setiap lagu itu sama dengan konsep muzik lain dan untuk tahun ini, kami cuba fokus kepada lagu berbentuk komersial namun, masih mengekalkan ketulenan batucada campuran Brazil dan Malaysia itu," luah Khairul Azwan Abdullah yang berusia 33 tahun.

Bahasa Portugis

Mengikut pemerhatian anak-anak muda itu, punca gendang tradisional tidak dikenali ramai adalah disebabkan cara pembawaan instrumen itu masih lagi berada ditakuk lama.

Memang tidak disangkal, muzik asli itu lebih baik kerana ia merupakan identiti yang seharusnya dijaga tetapi dalam era serba moden ini, ia juga perlu meniti pembaharuan agar dipandang ramai pihak.

Mohd. Azzam Che Manir, 25, berpendapat penciptaan lagu-lagu moden dengan alat muzik tradisional dapat memberi ruang kepada alatan tersebut terus berkembang mengikut peredaran zaman.

"Lagu samba, rap dan reggae yang kami hasilkan mungkin kedengaran muda dan moden tetapi komposisi muzik lagu itu merupakan hasil cantuman instrumen Brazil dan tempatan menjadikan ia satu karya yang menarik untuk didengar," ujar Azzam.

Bagi memantapkan kefahaman mereka terhadap batucada yang dikatakan dibawa dari Afrika ketika sistem penghambaan masih dijalankan, WPU turut mendapat tunjuk ajar daripada pemuzik Brazil bernama Baldinho yang memberi kursus pendek kepada kumpulan itu pada awal 2009.

Bukan itu sahaja, WPU juga cuba belajar bahasa rasmi Brazil iaitu bahasa Portugis daripada guru capoeira, Armando Soldado. Dengan sedikit pengetahuan itu mereka nyanyikan semula sebuah lagu Brazil berjudul Taj Mahal yang digubah semula mengikut kesesuaian genre muzik mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: