Monday, November 28, 2011

Perancang Di Sebalik Majlis Perkahwinan


KETIKA ini musim cuti sekolah dan menjelang akhir tahun maka bermulalah musim perkahwinan.

Banyak kad jemputan sudah pun diedarkan dan mereka yang dijemput merencana untuk menghadirkan diri ke sana sini.

Di sebalik kerancakan itu, wujud mereka yang bekerja di sebalik sesuatu majlis perkahwinan.

Hari ini, perancang perkahwinan dilihat sebagai pelengkap kepada pasangan ‘Raja Sehari’.

Pereka Fesyen dan Perancang Perkahwinan, Rizalman Ibrahim berkata, tugas dan tanggungjawab menguruskan perkahwinan bukan sesuatu yang baru di negara Barat.

“Industri ini sedang berkembang di Malaysia dan hari ini menjadi trend sebahagian besar perkahwinan di negara ini.

“Wujud perubahan dalam perkahwinan dan kini boleh dikatakan sebahagian besar tugas pengurusan diserahkan kepada pihak ketiga,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Rizalman Ibrahim.

Bukan wajib

Rizalman berkata, perubahan budaya disebabkan oleh peningkatan ekonomi mempengaruhi masyarakat untuk menggunakan khidmat orang lain berbanding membuatnya sendiri.

Kesibukan turut menyebabkan mereka memerlukan perancang perkahwinan bagi memastikan semua urusan diselia oleh pihak tertentu dengan lebih teratur.

“Kehadiran tetamu di kalangan orang kenamaan dan mereka berprofil tinggi pada majlis perkahwinan memerlukan protokol yang dikendalikan oleh individu berpengalaman.

“Namun khidmat perancang perkahwinan bukan satu kewajipan kerana ia bergantung pada institusi kekeluargaan sama ada mahu membuat sendiri atau mengupah pihak ketiga,” katanya.

Menurut Rizalman, beliau menjadi perancang perkahwinan bukan semata-mata atas dasar perniagaan tetapi kerana keprihatinannya dalam menjadikan sesuatu majlis itu berjalan lancar.

“Bila kita membuat sesuatu yang disukai maka hasilnya memberangsangkan. Tumpuan akan menjadi lebih fokus bagi merealisasikannya seperti yang dirancang,” katanya.

Mengenai cabaran, Rizalman melihat percanggahan pendapat yang dirasakan tidak perlu diterima merupakan satu kesulitan sedikit-sebanyak menjejaskan pengurusan.

“Isu kos juga sering diperkatakan. Namun bukan semua kerana perancang perkahwinan masih mampu menjadikan sesuatu majlis itu nampak cantik tetapi melibatkan kos rendah,” katanya.

Rizalman mempunyai khidmat perancang perkahwinan mampu milik untuk golongan pertengahan yang selama ini melihat nama besar dalam industri fesyen itu hanya memberi khidmat kepada golongan atasan dan orang kenamaan.

Pengarah Seni Glam Wedding, Mohd Faizul Surani membincangkan sesuatu kepada pelanggannya mengenai busana pengantin.

Dikenali sebagai Glam Wedding, ia memberi peluang kepada bakal pengantin untuk mendapat sentuhan Rizalman bagi majlis perkahwinan dengan bajet yang lebih berkemampuan.

“Masyarakat tidak perlu lagi risau tentang kos yang tinggi dan tidak perlu untuk meniru rekaan atau konsep Rizalman kerana Glam Wedding memahami keinginan mereka,” katanya.

Tugas profesional

Mengenai konflik, beliau membuat penilaian terhadap bakal pelanggan pada peringkat awal bagi memastikan keserasian antara kedua-dua pihak untuk bekerjasama.

“Terdapat ramai perancang perkahwinan di negara ini dan masing-masing mempunyai citarasa dan haluan sendiri. Pelanggan hanya perlu mengkaji bagi membuat pilihan tepat.

“Saya tidak merujuk pada trend tetapi lebih menggemari sesuatu yang baru di samping mengharapkan para pelanggan menyukai idea itu.

“Pembaharuan seharusnya ditonjolkan dan bukan tipikal seperti kebiasaan di samping memperbaiki kesilapan yang pernah diamalkan dalam majlis perkahwinan,” katanya.

Bagi Rizalman, apa yang lebih penting majlis perkahwinan itu merapatkan hubungan di kalangan tetamu dan memastikan kedua-dua pengantin direstui tanpa melihat mereka sekadar boneka.

“Keutamaan dalam majlis juga perlu dilihat dari aspek penyediaan jamuan untuk para tetamu sebagai tanda kesyukuran berlangsungnya sebuah perkahwinan,” katanya.

Rizalman (kanan) menunjukkan beberapa konsep baru majlis perkahwinan kepada Pengarah Seni Glam Wedding, Mohd Faizul Surani.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan semakin ramai yang mahu menjadi perancang perkahwinan kerana menyifatkannya mampu menjana pendapatan lumayan.

“Ini soal pengalaman dan profesional. Masalah tidak wujud sekiranya tugas dan tanggungjawab itu berdasarkan aspek itu.

“Lebih mudah untuk mengendalikan perancangan perkahwinan bersandarkan nama (Rizalman Ibrahim) yang dibina sejak kira-kira 20 tahun lalu.

“Namun keutamaan adalah memberi khidmat terbaik kepada pelanggan dan memastikan majlis perkahwinan sempurna,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: