Monday, November 28, 2011

Kontroversi tidak lemahkan semangat



BOLEH dikatakan selama ini Anuar Zain dilihat sebagai antara artis lelaki yang mampu mengekalkan identiti tersendiri sebagai seorang penyanyi yang kurang dilanda dengan kontroversi.

Menariknya, sejak akhir-akhir ini nama adik kepada penyanyi popular Ziana Zain itu semakin menjadi sebutan ramai. Bukan disebabkan produk terkini yang dihasilkan, sebaliknya peminat lebih memperkatakan tentang kisah peribadinya.

Ia bermula dengan cerita penyanyi tersebut yang kini tidak lagi menggunakan khidmat pengurusnya, Rohila Tahir bermula pada bulan Oktober lalu setelah lebih 10 tahun bekerjasama.

Ternyata perkara tersebut menjadi tanda tanya ramai pihak terutama di dalam industri sehingga ada yang mengatakan ia berpunca daripada pergaduhan sejak sekian lama.

Anuar jika boleh tidak menjawab perkara yang sepatutnya tidak menjadi satu isu. Namun untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, dia memberitahu tidak lagi menggunakan khidmat pengurus lamanya itu kerana mereka bersetuju untuk membawa haluan masing-masing selepas lama bekerjasama.

"Kami mempunyai hala tuju yang berbeza sekarang ini," katanya ringkas sambil memberitahu dia kini cuba menggunakan khidmat pengurus lelaki pula.

Kemudian timbul pula cerita yang mengatakan penyanyi berkenaan tidak mahu menyertai pertandingan Separuh Akhir Muzik-Muzik untuk membawakan lagu Sedetik Lebih dan diakui sendiri olehnya dan perkara tersebut telah diberitahu kepada pihak KRU.

Terkini pula apabila kisah tentang dirinya yang langsung tidak berkecil hati walaupun tidak diendahkan oleh pihak penganjur sewaktu berlangsung sidang akhbar selepas tamat acara Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18) pada 12 November yang lalu.

Biarpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cerita kontroversi yang turut membabitkan peribadinya, Anuar menganggap bahawa ia bukanlah satu masalah yang besar buat dirinya.

Mengakui adakalanya sedikit terasa apabila orang ramai lebih gemar memperkatakan tentang dirinya berbanding produk baharu yang dihasilkan, tidak bermakna dia perlu cepat lemah semangat untuk mengharunginya.


WALAU sedang dihimpit banyak dugaan, Anuar yakin ada hikmah yang sedang menanti hidupnya di hadapan.


"Bagi saya apa yang telah berlaku ini tentu ada hikmah di sebaliknya. Tidak mustahil di sebalik kontroversi yang melanda itu pasti akan ada membawa kebaikan kepada diri saya.

"Apa yang lebih penting, saya perlu mengharungi semuanya dengan lebih tenang dan tidak perlu rasa tertekan untuk menghadapinya. Malah, saya sangat menghargai sokongan peminat yang tidak jemu-jemu untuk terus memberikan sokongan," ujarnya.

Anuar kemudian menjelaskan tentang isu tidak mahu bertanding dalam anugerah lagi. Katanya: "Saya tidak kisah untuk mendendangkan lagu Sedetik Lebih dalam mana-mana acara kerana saya dan komposer iaitu Edry tidak mempunyai sebarang masalah. Cuma, saya mengambil prinsip untuk tidak lagi masuk bertanding dalam mana-mana anugerah dan saya harap isu ini tidak diperbesarkan lagi."

Tambah Anuar, dia tidak mahu terlalu memikirkan sangat kisah-kisahnya yang diperkatakan orang dan merasakan adalah lebih baik sekiranya dia terus memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyian.

"Tidak dinafikan dengan status sebagai seorang artis, sebarang kontroversi sukar memang untuk dielakkan. Namun, segala yang berlaku itu seharusnya dijadikan iktibar untuk menjadi lebih baik," jelasnya.

Ditanya tentang rahsia dirinya yang mampu bertahan selama 13 tahun setelah mula serius sebagai penyanyi pada tahun 1998, Anuar memberitahu prinsip hidupnya adalah melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan ikhlas.

Ujarnya, walaupun dirinya kini berada di kelas tersendiri, dia tetap berfikiran terbuka dan bersedia untuk menerima sebarang pandangan daripada peminat serta orang-orang di dalam industri sendiri.

"Untuk menjadi seorang penyanyi yang bagus, kita perlu mendengar apa sahaja kritikan dan idea yang diberikan. Seharusnya dalam diri ini tidak boleh ada sifat yang terlalu ego sekiranya mahu lebih lama bertahan," jelasnya.

Sambutan baik

Setelah kali terakhir menghasilkan album solo pada tahun 2007, kali ini Anuar Zain telah tampil dengan album baharu yang juga merupakan album solonya yang keempat.


ANUAR ZAIN tidak gemar menerima publisiti murahan. Dia lebih senang cerita kerjaya menjadi bualan khalayak.


Menurut Anuar, album tersebut sudah mula berada di pasaran sejak 19 September yang lalu dengan mengandungi lapan buah lagu baharu dan mendapat sambutan yang cukup baik daripada peminat.

"Alhamdulillah, walaupun saya tidak membuat sebarang majlis pelancaran untuk album baharu saya ini, tetapi sambutan yang diterima memang sangat menggalakkan serta peminat turut memberi maklum balas yang positif.

"Setakat ini ia telah dihasilkan sebanyak 11,000 unit untuk cetakan pertama. Sehinggakan ada peminat yang mengadu tidak mendapat album tersebut kerana ia telah habis dijual di kebanyakan tempat di sekitar Lembah Klang," ujarnya.

Untuk album solo keempat yang menggunakan judul Anuar Zain 2011, antara lagu-lagu yang dimuatkan adalah seperti Ku Berjanji Karna Cinta, Nadi Terhenti, Ajari Aku, Pernahkah, Simpati Cintamu, Sempurnakan Aku dan Terindah.

Jelas Anuar, untuk memberitahu tentang kemunculan album terbaharunya itu kepada peminat, dia telah merangka beberapa rancangan promosi dan semuanya akan dimulakan pada awal tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: