Monday, November 28, 2011

Keluarga sudah tahu

PUNYA IMPIAN...mengharapkan Maal Hijrah ini akan menjadi permulaan baru untuknya kembali aktif dalam dunia muzik.
PUNYA IMPIAN...mengharapkan Maal Hijrah ini akan menjadi permulaan baru untuknya kembali aktif dalam dunia muzik.

BEKAS anggota kumpulan OAG yang kini mencipta nama sebagai pengacara, Qushairi Mohammed Razali atau Qi dilihat tidak lagi berahsia mengenai hubungannya dengan penyanyi popular Yuna. Pasangan ini lebih bersikap terbuka mengenai hubungan mereka dan sering dilihat bersama termasuklah menghadiri majlis penganugerahan.

Ditemui di satu sesi fotografi khas bagi mempromosikan rancangan Field Trip USA musim kedua yang disiarkan setiap Rabu, 9.30 malam di 8TV, jejaka berusia 34 tahun itu menegaskan, apa yang dilakukan adalah perkara biasa dan tiada apa yang perlu disorokkan membabitkan hubungannya dengan penyanyi bakal mencipta nama di Amerika Syarikat itu.


  • Foto

    BERI SOKONGAN...Qi turut hadir bersama Yuna sewaktu penyanyi itu memenangi anugerah utama di Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18)

  • Foto

    BERBAKAT...ibu menjadi pengkritik utama untuk Qi memperbaiki corak persembahan sebagai pengacara.

  • Foto

    BERBAKAT...ibu menjadi pengkritik utama untuk Qi memperbaiki corak persembahan sebagai pengacara.

“Cuma dalam keadaan tertentu saya juga seperti orang lain. Ada perkara dianggap peribadi tidak perlu dikongsikan dengan umum. Begitupun saya tidak berselindung mengenai hubungan saya dan Yuna. Saya mahu menjalani hidup seperti manusia biasa dan menjadi diri sendiri,” katanya.

Tegas Qi lagi, sebelum ini bukan dia mahupun Yuna mahu menyembunyikan hubungan cinta mereka, sebaliknya mereka masih lagi dalam peringkat berkenalan dan berkawan. Soal cinta tidak wujud.


“Apabila ia benar-benar berlaku saya dan Yuna sendiri tidak menyembunyikan.

Lagipun hubungan kami sudah diketahui keluarga kedua-dua belah pihak. Tidak ada perkara yang kami fikir perlu disembunyikan. Pada saya biarlah kami dahulukan keluarga. Tidak manis sekiranya hubungan kami diketahui orang sedangkan mereka tidak tahu,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan dia dan Yuna akan mengakhiri zaman solo dalam masa terdekat, kata Qi, me�reka belum lagi memikirkan mengenai perkara itu apatah lagi kedua-duanya sedang sibuk.

“Yuna sendiri akan mempromosikan album Inggeris untuk pasaran Amerika Syarikat.
Sepanjang tahun depan dia akan menjelajah negara Uncle Sam itu. Dan saya sendiri sudah mempunyai beberapa perancangan termasuk kembali aktif menghasilkan muzik di samping mengintai peluang kembali ke layar kaca atau perak,” katanya.

Penghijrahan dibuat Qi yang sebelum ini menganggotai kumpulan popular indie, OAG dengan menyertai dunia penyiaran dan menjadi pengacara mula menunjukkan perkembangan. Apatah lagi peluang mengendalikan rancangan popular seperti Destinasi Budget disiarkan di 8TV sebelum ini dan Jalan-Jalan Cari Makan membuatkan namanya menjadi sebutan ramai.

Tidak kurang juga ramai yang memuji kemampuannya sebagai pengacara. Kata mereka, Qi begitu bersahaja dan sangat petah beraksi depan kamera sewaktu memberikan informasi kepada penonton.

“Saya tinggalkan dunia muzik sekitar 1999 dan pada 2004 barulah saya mencuba bidang pengacaraan. Segala bermula daripada ajakan seorang teman yang meminta saya mengacarakan rancangan Destinasi Budget. Saya kurang yakin tetapi apabila menghadiri uji bakat mereka berminat dan melamar saya.

“Pertama kali menonton wajah saya sebagai pengacara saya rasa kelakar, tetapi rakan-rakan memberitahu saya boleh buat dan saya nampak bersahaja.

Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada ibu kerana dia menjadi pengkritik utama. Setiap kali rancangan itu disiarkan ibu akan memberikan komen apa yang harus saya perbaiki dan daripada situ saya mula berubah dan mengumpul keyakinan,” katanya.

Berpindah daripada dunia muzik kepada pengacaraan kata Qi, tidak memberikan banyak masalah kepadanya kerana apa yang berbeza adalah medium dan alat digunakan untuk menyampaikan apa yang ingin disampaikan.

“Seperti muzik saya ingin menyampaikan lagu kepada orang ramai. Untuk itu ia memerlukan melodi dan nota lagu bagi menjadikan ia satu karya yang baik dan boleh diterima. Sementara pengacaraan pula kita perlu menyampaikan informasi kepada penonton dan apa yang diperlukan adalah kamera. Persamaan yang wujud dalam dua perkara ini adalah penyampaian harus datang dari hati dan akal.
Sekiranya itu dapat dilakukan barulah orang mudah untuk menerima lagu dihasilkan atau rancangan dipersembahkan,” katanya.

Bercerita mengenai Field Trip USA untuk musim kedua, kata Qi kali ini pihak produksi cuba membawa penonton melihat Amerika Syarikat dari sudut berbeza di mana pelajar terbabit dalam rancangan ini akan tinggal bersama keluarga yang menetap di kawasan luar bandar di sana selama enam bulan.

“Saya hormati semangat yang dimiliki pelajar terbabit yang sanggup tinggal di kawasan pedalaman di Amerika dalam tempoh enam bulan semata-mata untuk menimba ilmu dan belajar cara hidup masyarakat lain. Saya berkesempatan mengunjungi beberapa tempat di mana pelajar ini tinggal. Pada saya untuk menetap empat hari sudah bosan inikan pula mereka duduk sampai enam bulan.

“Seorang pelajar, Thessa tinggal bersama keluarga angkatnya di kawasan kampung di Iowa. Dia berasal dari Melaka. Bayangkan penempatan tempat keluarga angkatnya menetap hanya ada 200 orang penduduk. Rasanya Melaka jauh lebih maju.
Tidak ada banyak aktiviti di sana tetapi dia gembira tinggal bersama keluarganya dengan membantu mereka berladang. Satu kehidupan cukup menarik untuk dipaparkan,” katanya.

Satu lagi keluarga yang sempat dilawati apabila seorang pelajar bisu menetap dengan keluarga angkatnya yang juga bisu di Indianapolis. Katanya menarik kerana bapa keluarga angkatnya itu seorang genius kerana menghasilkan satu perisian yang dapat membantu orang kelainan upaya (OKU) seperti mereka.

Beralih kepada harapannya sempena menyambut tahun Maal Hijrah, Qi menjelaskan seperti umat Islam yang lain dia mengharapkan perancangan bakal dilaksanakan akan menjadi kenyataan. Apatah lagi impiannya besar kerana mahu kembali aktif dalam bidang muzik.

“Saya sangat rindukan muzik dan mahu kembali aktif. Kebanyakan bidang pengacaraan yang saya lakukan sekarang akan berakhir tahun ini dan masa terluang membuka ruang kepada saya untuk kembali aktif dengan menghasilkan muzik. Saya juga mahu mencuba menyanyi sendiri lagu-lagu yang dihasilkan.

“Selain itu saya juga bercadang mahu mengadakan persembahan bersama OAG.
Alhamdulillah, keadaan Radhi sudah semakin baik. Ternyata tahun baru yang datang ini saya lihat membawa banyak rahmat bukan saja kepada saya tetapi semua orang. Saya berdoa agar apa yang saya impikan ini akan terlaksana. Begitupun segala saya serahkan kepada-Nya. Sebagai hambanya saya hanya mampu berusaha dan berdoa apa yang diimpikan menjadi kenyataan,” katanya seraya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: