Monday, November 28, 2011

Kanak-Kanak Hilang Bosan Bila Celik IT


RUTIN harian untuk mengikuti kelas tambahan mungkin sedikit membosannya terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Mana tidaknya, setelah seharian belajar di sekolah dengan pelbagai subjek, kebanyakan ibu bapa akan menghantar pula anak-anak mereka mengikuti kelas tambahan di luar waktu persekolahan.

Tapi mungkin ramai di kalangan ibu bapa yang tidak terfikir bahawa selain kepentingan untuk memastikan anak-anak mereka menguasai ilmu berorentasikan peperiksaan, golongan pelajar juga seharusnya dibekalkan dengan kemahiran tertentu sebagai nilai tambah.

Salah satu bidang yang yang dilihat cukup penting ialah dengan menguasai ilmu teknologi maklumat (IT).

Persepsi bahawa pendedahan dalam bidang IT hanya sesuai dilakukan apabila seseorang itu melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi perlu diubah.

Sebaliknya kemahiran IT sewajarnya disuburkan dalam diri seseorang bermula di peringkat kanak-kanak lagi.

Menyedari kepentingan penguasaan IT terutama dalam situasi dunia tanpa sempadan, Malaysia IT Literacy Association (MITLA) dengan kerjasama ITKing Computer Training Centre tampil ke hadapan dengan penganjuran bengkel percuma kepada pelajar sekolah sama ada di peringkat rendah mahupun menengah.

Pengerusi MITLA, Datuk Mohamad Rafiai Moktar bersama pemenang bagi kategori penyertaan terbanyak iaitu SJK(C) Lick Hung, Subang Jaya.

MITLA sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan bagi memperkasa dan meningkatkan penguasaan IT di kalangan rakyat Malaysia khususnya generasi muda.

Bagi memenuhi hasrat itu, ITKing memainkan peranan sebagai pengendali bengkel pecuma kepada golongan pelajar secara sistematik mengikut fasa-fasa tertentu.

Justeru penganjuran Kejohanan MITLA Literasi IT Antara Sekolah 2011 merupakan medium terbaik bagi memberi pendedahan serta menarik perhatian generasi muda terhadap IT.

Memilih Subang Jaya sebagai kawasan pertama di Selangor, kejohanan itu berjaya menarik perhatian dan sokongan apabila disertai oleh 21 buah sekolah rendah dan menengah di kawasan berkenaan.

Pengerusi MITLA, Datuk Mohamad Rafiai Moktar berkata, kejohanan seumpama itu dianjurkan bagi menguji tahap penguasaan asas generasi muda terhadap bidang IT.

“Kejohanan dan bengkel seperti ini bermatlamat untuk menyediakan asas yang kukuh kepada anak-anak muda agar menguasai Aplikasi Microsoft 2010 yang menjadi perkara pokok kepada dunia akademik dan korporat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi 2011 dan 2012, kejohanan ini akan memberi tumpuan di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur untuk menguji tahap penguasaan Aplikasi Microsoft Office dan ilmu asas IT.

Pelajar yang menyertai kejohanan ini akan diuji kemahiran tiga aplikasi utama iaitu Microsoft Word 2010, Microsoft Excel 2010 dan Microsoft Power Point 2010.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan ITKing Education Franchise Sdn Bhd, Lee Yew Kein berkata, Subang Jaya merupakan destinasi pilihan pertama kejohanan ini diadakan sebagai persediaan menghadapi kejohanan utama bagi peringkat negeri Selangor tahun hadapan.

Mengulas mengenai bengkel percuma dan kejohanan ini, Lee berkata, ITKing sebagai penggerak utama mengambil berat mengenai tahap pemahaman dan penguasaan peserta selepas mengikutinya.

“Kita tidak mahu generasi muda hanya tahu menggunakan komputer yang dibeli oleh ibu bapa mereka hanya sebagai alat hiburan semata-mata. Sebenarnya banyak perkara mereka boleh lakukan menggunakan komputer selain menghabiskan masa melayari laman sosial seperti facebook ataupun youtube,” katanya

Lee juga berkata, penganjuran program seumpama itu telah membuka minda masyarakat khususnya ibu bapa agar mempersiap sediakan anak-anak mereka dengan kemahiran dan ilmu tambahan terutama berkaitan IT.

Menurutnya, ia juga mendapat respon yang baik daripada pihak sekolah kerana secara tidak langsung peranan yang dimainkan MILTA dan ITKing sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan nilai kebolehupayaan seseorang pelajar.

“IT merupakan satu kemahiran yang berguna sepanjang masa kerana ia memberi nilai tambah kepada seseorang individu itu terutama sekali dalam menghadapi persaingan mendapatkan pekerjaan.

“Setiap orang mungkin mempunyai kejayaan dalam bidang akademik yang hampir sama, jadi yang akan membezakan antara seseorang individu dengan yang lain ialah kemahiran tambahan seperti penguasaan IT,” katanya.

Tambah beliau, budaya celik IT di kalangan generasi muda perlu disemai diperingkat awal sebagai benteng asas melahirkan masyarakat Malaysia yang berilmu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: