Monday, November 28, 2011

Hairie Othman jadikan selam skuba sebagai hobi


selam

Setiap individu pasti melakukan aktiviti tertentu pada setiap hujung minggu. Perkara sama turut dilalui aktor, Hairie Othman yang memilih masa hujung minggu untuk melakukan aktiviti kegemarannya, menyelam ke dasar laut bersama rakan.

Selain mengisi masa lapang sekiranya tiada tawaran berlakon, kata Hairie aktiviti inilah telah menjadi rutin wajibnya.

“Saya menganjurkan aktiviti menyelam ini sebenarnya dengan tujuan ingin mengajak orang ramai menyedari keindahan hidupan di dasar laut.

“Bukan itu sahaja, selam skuba boleh dianggap sebagai aktiviti senaman. Mungkin ramai yang tidak tahu tentang fakta ini, sebab itu saya semakin aktif menganjurkannya,” katanya kepada Zass.

Antara lokasi yang sering dipilih Hairie untuk melakukan aktiviti menyelamnya adalah di Pulau Perhentian dan Pusat Akuatik Shah Alam.

Seronok dengan aktiviti menyelam, Hairie tidak akan berhenti daripada melakukannya dan sering menyelam di dasar laut sehingga tiga jam.

Katanya, kemahiran menyelam selama enam tahun yang ada padanya bermula hanya dengan aktiviti bulanan bersama keluarganya.

Minat bertukar perniagaan

Setelah menyedari minatnya semakin mendalam dengan aktiviti ini, Hairie mendapatkan lesen menyelam daripada pihak berkenaan dan menceburkan diri secara serius dalam bidang tersebut.

Kata Hairie, dengan minat yang mendalam terhadap aktiviti skuba, dia mengusahakan sebuah perniagaan perkhidmatan belajar menyelam dan berenang miliknya, HO Skuba Adventure.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, selain melakukan aktiviti menyelam bersama peminat, saya juga menyediakan perkhidmatan belajar berenang dan latihan sejak sepuluh tahun lalu.

“Semuanya bermula dengan hanya suka-suka saja sehingga perniagaan ini sekarang sudah boleh dianggap karier kedua saya selain berlakon. Jika ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan aktiviti menyelam, sila layari hoscubaadventure.blogspot.com.

“Pelbagai pakej yang saya sediakan dengan harga yang berpatutan. Jadi, ia berbaloi bagi mereka yang ingin merasai pengalaman baru dengan menyelam sehingga ke dasar laut,” kata Hairie yang mengusahakan HO Skuba Adventure bersama seorang rakan.

Lihat saja foto-foto aktiviti menyelam Hairie bersama beberapa pelanggan dan peminatnya, pasti seronok dan pengalaman menakjubkan dapat dirasai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: