Tuesday, November 29, 2011

Artis popular dalam Travelog AirAsia



Maya Karin selaku artis jemputan untuk episod pertama program Travelog AirAsia mesra bersama pengacara, Edd Razhe.


KEMUNCULAN program berbentuk percutian sentiasa ditunggu penonton di negara ini. Selain dapat menikmati keindahan sesebuah negara melalui kaca televisyen, program itu juga mampu menambah pengetahuan penonton mengenai tempat-tempat menarik di seluruh dunia.Terbaru syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dengan kerjasama TV3 melancarkan program Travelog AirAsia.

Rancangan 13 episod terbitan Primeworks Studios tersebut dihoskan oleh bekas pengurus artis tanah air yang kini kakitangan Air Asia, Edd Razhe atau dikenali sebagai Edd.

Apa yang menariknya tentang program itu adalah setiap destinasi yang dilawati Edd, akan ditemani oleh seorang artis terkenal tempatan

Pengerusi AirAsia, Datuk Aziz Bakar berkata, rancangan itu dihasilkan sempena sambutan ulang tahun syarikat penerbangan itu yang ke-10 tahun ini.

"Pemilihan Edd sebagai pengacara adalah di atas latar belakangnya dalam industri hiburan.

"Selain itu juga pengalaman beliau yang luas semasa menjadi pengurus artis popular seperti Maya Karin dilihat mampu melancarkan perjalanan program ini," katanya di majlis pelancaran tersebut di Bangsar Village 2, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Aziz lagi, program itu juga diharap mampu membantu penonton di rumah untuk memilih destinasi percutian pilihan mereka.

"Program ini menyediakan pelbagai maklumat menarik untuk membantu penonton di rumah di dalam mengenalpasti destinasi percutian," katanya

Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omarmenjelaskan, kerjasama yang baik di antara Media Prima dan Air Asia mendorong pembikinanTravelog AirAsia.

"Rancangan ini mempunyai identiti tersendiri di mana para penonton TV3 dapat mengetahui destinasi-destinasi yang ditawarkan AirAsia dan AirAsia X.

"Selain itu juga penonton secara tidak langsung dapat mengetahui rangkuman produk yang dapat memenuhi permintaan mereka apabila bercuti di luar negara," katanya.

Selain memilih Paris menjadi destinasi pertama, Maya Karin juga diberi penghormatan untuk muncul di dalam episod pertama program itu yang disiarkan pada 20 November lalu.

Antara destinasi Travelog AirAsia yang menarik untuk ditonton adalah Hanoi, Vietnam, Jogjakarta, Macau, Hong Kong, Tehran, New Delhi, Guilin dan beberapa lagi destinasi penerbangan syarikat tersebut.

Himpunan artis tanah air yang turut menjayakan program ini ialah Juliana Evans, Linda Hashim, Elfira Roy, Julia Ziegler dan beberapa artis yang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: